MENGGUNAKAN wang tanpa kebenaran bermaksud “mencuri”, kata seorang ahli Parlimen DAP mengenai pendedahan jawatankuasa pilihan Parlimen bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan wang bagi pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menampung perbelanjaan lain kerana kurang pendapatan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata BN tidak berhak menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar balik tuntutan GST. Dan tindakan tersebut menyamai dengan perbuatan mencuri, katanya.
“Ini menunjukkan bahawa undang-undang dilanggar, dan wang yang sepatutnta untuk pembayaran balik itu kerajaan gunakan untuk membayar perbelanjaan lain disebabkan berlaku kekurangan dalam pendapatan,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
“Ini sama macam ‘mencuri’ sebab kerajaan tiada hak ke atas duit itu yang mengikut undang-undang, mesti dimasukkan ke dalam dana untuk pembayaran balik.”
“Pokok pangkalnya, undang-undang sudah dilanggar dan kerajaan BN guna duit yang bukan miliknya. Tidak kiralah apa alasan pun.”
Yii mengulas laporan The Malaysian Insight mengenai siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendapati wang untuk bayaran balik tuntutan GST tidak “hilang” atau “dirompak” seperti yang didakwa oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng tahun lalu.
Wang itu sebaliknya digunakan untuk menampung perbelanjaan lain kerajaan disebabkan kekurangan pendapatan. – 11 Julai, 2019.
Komen