Vatican gali 2 kubur cari remaja hilang 36 tahun lalu


Emanuela Orlandi, anak perempuan kepada seorang kakitangan Vatican kali terakhir dilihat ketika keluar dari kelas muziknya pada usia 15 tahun, 36 tahun lalu. – Gambar AFP, 11 Julai, 2019.

VATICAN akan menggali dua kubur hari ini selepas mendapat tip daripada orang tidak dikenali yang ia mungkin mengandungi mayat seorang remaja Itali yang hilang 36 tahun lalu.

Emanuela Orlandi, anak perempuan kepada seorang kakitangan Vatican kali terakhir dilihat ketika keluar dari kelas muziknya pada usia 15 tahun, dan teori kehilangannya berlegar selama berdekad.

Abang Orlandi, Pietro yang tidak pernah berhenti berkempen supaya Vatican membuka siasatan terhadap kehilangan itu, akan turut hadir ketika kubur berkenaan dibuka di Tapak Perkuburan Teutonic.

Proses menggali semula kubur itu dibuat selepas peguam keluarga menerima gambar kubur dengan patung malaikat di atasnya di kawasan perkuburan itu, dengan mesej: “Lihat di mana malaikat itu tunjuk.”

Tapak perkuburan yang kecil itu terletak di tapak asal sarkas Emperor Nero, biasanya menjadi tempat persemadian ahli institusi Katolik yang berbahasa Jerman.

Ia terletak di belakang Basilica St Peter, kawasan yang jarang dikunjungi pelancong.

Kubur yang akan digali itu milik dua puteri yang ditanam pada 1836 dan 1840.

Sisa mayat yang ditemui nanti akan dikeluarkan dan diperiksa oleh pakar forensik Itali Giovanni Arcudi.

Pemeriksaan akan dibuat di lokasi dan dijangkakan tempoh lima jam membolehkan usia tulang berkenaan dikenal pasti.

Arcudi akan mengekstrak DNA untuk dianalisis.

Keputusannya akan diperoleh dalam tempoh 60 hari. – AFP, 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen