MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menafikan beliau menentang cadangan Maju Holdings Sdn Bhd mahu mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS), syarikat yang memegang konsesi tol Lebuh Raya Utara Selatan.
Sebaliknya, beliau berkata pendirian berdasarkan pandangan pemegang saham utama iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak bersetuju dengan pengambilalihan daripada Maju Holdings.
“Kita terima banyak permohonan daripada pelbagai pihak. Bila kita buat (pendirian) keputusan adalah berlandaskan kepentingan pemegang saham utama.
“Khazanah dan KWSP mereka tak setuju,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Lim berkata keputusan kerajaan pada masa ini adalah berdasarkan pada syor yang diberikan oleh Khazanah dan KWSP.
“Saya rasa itu keputusan buat masa ini tetapi tentu kita berpandukan apa yg diputuskan oleh perdana menteri,” tambahnya.
Khazanah Nasional Berhad mempunyai pegangan 51% saham dalam PLUS melalui UEM Group Berhad sementara KWSP memegang baki 49% saham.
Lim mengulas laporan akhbar perniagaan The Edge yang mendakwa beliau menentang pengambilalihan syarikat lebuh raya berkenaan.
Akhir bulan lepas, akhbar mingguan The Edge Weekly melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan spekulasi Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Abu Sahid Mohamed sudah memberikan kertas cadangan baru untuk mengambil alih PLUS.
Pada 2 Julai, Menteri Kerja Raya Baru Bian bagaimanapun berkata kementeriannya tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada Maju Holdings.
Menurut Lim beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak Maju Holdings untuk membincangkan tawaran baru yang dilaporkan itu.
Cadangan Maju Holdings mahu mengambil alih PLUS berbangkit ketika Kementerian Kewangan Diperbadankan membuat tawaran mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang dimiliki Gamuda Berhad.
Tawaran syarikat milik Kementerian Kewangan itu sah sehingga petang esok. – 11 Julai, 2019.
Komen