DAP akan menunggu siasatan polis sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumahnya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau sudah membincangkan pendirian DAP mengenai exco negeri itu dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.
“Saya meminta DAP negeri Perak menguruskan perkara ini dan memberikan laporan kepada saya.
“Pada masa sama, saya telah pun berbincang dengan menteri besar Perak.
“Baik di peringkat parti ataupun di peringkat kepimpinan negeri. Kita akan tunggu hasil siasatan daripada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Yong ialah pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.
Semalam, Yong menafikan dakwaan merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia sebaliknya menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan palsu.
Ketua Polis Perak Razaruddin Husain turut mengesahkan perkara itu dalam siasatan polis.
Katanya, polis sudah mengambil percakapan pihak yang terlibat.
Susulan kejadian itu, majlis angkat sumpah exco negeri yang sepatutnya diadakan hari ini di Kuala Kangsar ditangguhkan ke satu tarikh lain. – 11 Julai, 2019.
Komen