HASIL jualan kapal pesiar mewah Equanimity akan dimasukkan ke dalam tabung pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Duit itu akan dimasukkan pada Ogos ini, katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Equanimity, yang didakwa dibeli dengan duit yang diselewengkan dari 1MDB, dijual kepada Genting Berhad pada harga AS$126 juta atau bersamaan kira-kira RM527.4 juta.
Hasil jualan itu diterima pada 23 April lalu dan dipegang dalam akaun amanah mahkamah di sebuah firma guaman tempatan selama tiga bulan.
“Hasil jualannya ditolak dengan perbelanjaan daripada jualan akan dimasukkan ke akaun itu,” kata Lim.
Lim menjawab soalan Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta beliau menyatakan nilai bersih hasil penjualan kapal Equanimity dan ke manakah wang tersebut akan disalurkan.
Pada 3 April lalu, Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur memberikan kelulusan menerima tawaran Genting untuk membeli kapal pesiar mewah itu.
Tawaran itu adalah yang terbaik diterima dalam masa lima bulan sejak Equanimity diumumkan dilelong pada Oktober 2018, katanya.
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan kapal pesiar mewah itu bagaimanapun menyelar kerajaan yang didakwanya sengaja menjual Equanimity pada harga rendah.
Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada Februari 2018, atas permintaan pihak berkuasa di Amerika Syarikat yang menyiasat skandal 1MDB.
Kapal itu kemudian diserahkan kepada Malaysia dan dihantar ke Pelabuhan Klang kira-kira enam bulan kemudian. – 11 Julai, 2019.
Komen