Pengangguran 3.3%, Malaysia nikmati guna tenaga penuh, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kadar pengangguran Malaysia ialah 3.3% pada 2018 sementara kadar pengangguran belia 10.9%. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 11 Julai, 2019.

PENGANGGURAN Malaysia pada kadar 3.3% masih dianggap sebagai guna tenaga penuh mengikut standard Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Negara yang mempunyai kadar pengangguran di bawah 4% termasuk dalam kategori guna tenaga penuh.

Menurut Jabatan Statistik, kadar pengangguran Malaysia ialah 3.3% pada 2018 sementara kadar pengangguran belia 10.9%.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia antara 15 dan 24 tahun adalah fenomena biasa dialami negara sedang membangun dan negara membangun,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab hari ini.

Antara faktor yang menyumbang kepada pengangguran belia ialah kekurangan kemahiran dan pendidikan, kurang pengalaman dan kemahiran tidak sepadan.

“Tambahan kepada itu, belia juga perlu meningkatkan personaliti dan sikap mereka supaya ia selaras dengan apa yang dicari majikan iaitu komited, rajin, dan tahan lasak, serta boleh bekerja dalam kumpulan, sanggup belajar, mampu bekerja di bawah tekanan dan proaktif.”

Dr Mahathir berkata usaha dilakukan untuk menangani isu pengangguran menerusi portal Jobs Malaysia dan pusat sehenti untuk menyediakan khidmat nasihat dan program latihan untuk pencari kerja.

Pusat sehenti itu terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jobs Malaysia, Perkeso, Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera(Teraju).

Menjawab soalan tambahan Ahmad Maslan (Pontian-BN) tentang sama ada kerajaan akan memperkenalkan aliran keusahawanan sebagai tambahan kepada aliran sains dan sastera di sekolah menengah, Dr Mahathir berkata inisiatif seumpama itu sudah pun dilakukan di beberapa tempat.

“Ini sudah dilakukan di beberapa tempat tetapi terpulang kepada mereka yang tidak bekerja untuk membangunkan kemahiran yang berkaitan,” katanya. – 11 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen