JABATAN Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan terhadap Bank Deutsche, memastikan adakah bank itu melanggar undang-undang kewangan asing dalam melaksanakan kerjanya untuk 1MDB, lapor media AS.
Jabatan itu menyiasat sama ada Bank Deutsche melanggar undang-undang rasuah asing atau anti pengubahan wang haram menerusi kerjanya untuk 1MDB, iaitu termasuk membantu syarikat Malaysia itu mengumpul AS$1.2 bilion pada 2014 susulan kebimbangan tentang pengurusan dan kewangannya mula tersebar, lapor The Wall Street Journal.
Berbilion dolar dicuri daripada syarikat pelaburan itu antara 2009 dan 2014 dan dibelanjakan untuk pelbagai perkara, daripada kapal layar hinggalah lukisan mahal, dalam kes penipuan dipercayai membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan kroninya.
Siasatan terhadap Bank Deutsch dibantu oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, yang mengaku bersalah atas pembabitannya dalam skandal 1MDB, lapor Journal.
Pendakwa raya sedang menyiasat peranan bekas rakan sekerja Leissner, Tan Boon-Kee, yang juga bekerja sebagai ketua perbankan Bank Deutsche Asia Pasifik.
Tan berhenti dari bank itu tahun lalu selepas didapati beliau berhubung dengan Jho Low, ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu polis, dan menjadi dalang utama dalam penipuan itu.
Bank Deutsche memberi kerjasama penuh dengan siasatan itu, katanya dalam satu kenyataan, dan mendakwa ia diperdaya oleh 1MDB. – AFP, 11 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen