NEW Orleans bersiap sedia untuk berdepan dengan ribut tropika pertama bagi musim ini yang diramalkan akan turut membawa taufan, hingga menyebabkan gabenor Louisiana mungkin mengisytiharkan darurat.
“Masih terlalu awal untuk tahu kesannya, tetapi kami percaya akan ada kesan,” kata Datuk Bandar New Orleans LaToya Cantrell pada sidang akhbar di bandar yang pernah terjejas teruk akibat Taufan Katrina pada 2005.
“Bersedia untuk berdepan dengan impaknya,” katanya, mengingatkan penduduk bahawa bandar itu menerima sehingga 8 inci hujan dalam tempoh tiga jam pagi semalam.
Sebahagian kawasan turut dilanda banjir.
Badan pemantau ribut memberi amaran kepada penduduk tentang kemungkinan banjir akibat air naik dan pesisiran pantai banjir di bandar yang terkenal dengan muzik jazz dan Mardi Gras itu.
Sebahagian New Orleans dibina di bawah paras laut.
Jika ribut yang datang berubah menjadi taufan seperti dijangkakan, ia akan menjadi bencana pertama bagi musim Atlantik kali ini dan akan dinamakan Barry.
Sebahagian kawasan pantai Louisiana sudah pun mengalami hujan lebat dan banjir.
Penduduk di kawasan zon berisiko pada masa ini digalakkan berada di rumah dan tempat perlindungan.
Pagi semalam, hampir 10,000 penduduk terputus bekalan elektrik di New Orleans.
Ketika Taufan Katrina melanda, bandar itu tenggelam, dengan 80% kawasannya banjir. Lebih 1,800 penduduk maut dalam bencana itu. – AFP, 11 Julai, 2019.
Komen