PENGAMBILAN minuman bergula seperti soda dan jus buah dikaitkan dengan risiko lebih tinggi bagi pertumbuhan kanser tertentu, kata penyelidik pada Khamis.
Pengambilan minuman bergula dan minuman berkalori tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti sejak beberapa dekad lalu - yang diiktiraf sebagai faktor utama risiko kanser.
Satu pasukan penyelidik di Perancis ingin menilai hubung kait pengambilan minuman bergula dan risiko kanser secara keseluruhan, serta beberapa jenis kanser, termasuk kanser payudara, prostat dan usus.
Mereka mengkaji lebih 100,000 orang dewasa, dengan purata umur 42 tahun, 79% daripadanya adalah wanita.
Para peserta, yang dipantau sekurang-kurangnya sembilan tahun, menyempurnakan sekurang-kurangnya dua soal selidik diet dalam talian, mengira pengambilan harian gula dan minuman gula buatan serta jus buah 100%.
Para penyelidik mengukur pengambilan minuman bergula harian terhadap minuman diet dan membandingkannya dengan kes kanser dalam rekod perubatan responden sepanjang tempoh susulan.
Mereka mendapati hanya 100ml peningkatan sehari bagi minuman bergula dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser sebanyak 18%, dan dengan kenaikan kanser payudara sebanyak 22%.
Minuman bergula dan jus buah turut menyaksikan risiko sama yang lebih tinggi.
Semasa melakukan susulan, penyelidik mendapati 2,193 kes kanser didiagnosis dengan usia purata 59 tahun.
Penulis kajian mencadangkan, berdasarkan penemuan mereka, pengecualian produk gula boleh memberi impak yang signifikan terhadap kadar kanser.
“Kajian besar yang dirancang dengan baik ini menambah bukti yang ada bahawa pengambilan minuman bergula dapat dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa jenis kanser,” kata Graham Wheeler, ahli statistik senior Cancer Research UK. – AFP, 11 Julai, 2019.
Komen