BN guna bayaran balik GST tampung perbelanjaan, dedah panel


Chan Kok Leong

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapat wang bayaran balik GST tidak 'dicuri' atau 'dirompak' seperti dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika beliau mendedahkannya pada Ogos tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2019.

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) sebelum ini menggunakan wang bagi pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menampung perbelanjaan lain kerana kekurangan pendapatan, dedah sebuah jawatankuasa pilihan Parlimen.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati BN membuat anggaran berlebihan sumber pendapatannya dan dimasukkan ke dalam akaun pembayaran balik GST, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Wang itu tidak “dicuri” atau “dirompak” seperti dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika beliau mendedahkan dana “hilang” di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lepas.

“Jabatan Kastam dijangka menyumbang sejumlah wang kepada Perbendaharaan tetapi ketika itu ia tidak mencukupi. Justeru, pemerintah sebelumnya menggunakan dana yang sepatutnya dipulangkan untuk perbelanjaannya sendiri,” kata sumber Parlimen kepada The Malaysian Insight.

“Pembayar cukai sebenarnya dipaksa memberi pinjaman kepada kerajaan.”

PAC ditugaskan menyiasat kes “kehilangan” RM18 bilion pembayaran balik GST selepas Lim mendedahkan hanya RM1.486 bilion masih ada dalam akaun yang dikhususkan untuk pembayaran balik GST.

Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung RM19.4 bilion yang terhutang kepada pembayar cukai.

Daripada jumlah tersebut, RM9.2 bilion adalah untuk pembayaran balik bagi 2018, RM6.8 bilion (2017), RM2.8 bilion (2016) dan RM600 juta (2015). GST bermula pada 1 April 2014.

Pengerusi PAC Dr Noraini Ahmad semalam berkata laporan jawatankuasa mengenai pembayaran balik GST akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa depan dan tersedia kepada orang ramai di laman web Parlimen.

Hasil daripada pengembalian semula GST yang hilang, kerajaan baru memasukkan dividen khas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas untuk memudahkan pengembalian cukai dalam Bajet 2019.

Pendedahan Lim mendorong PAC memulakan siasatan ke mana wang berkenaan hilang.

PAC pada asalnya merancang untuk membentangkan laporannya pada November lalu dan sekali lagi dalam sidang terakhir tetapi selepas perubahan pengerusi daripada Ronald Kiandee kepada Noraini, diumumkan laporan itu akan dibentangkan dalam sidang yang sedang berlangsung.

“PAC juga perlu menghubungi semula beberapa orang yang ditemuramah tahun lalu kerana perubahan dalam anggota,” kata sumber lain.

“Satu lagi punca kelewatanadalah kerana beberapa cadangan. Satu atau dua orang ahli tidak boleh bersetuju dengannya dan mahu memasukkan sesuatu tentang bagaimana kerajaan menangani kekurangan pada masa depan.

“Tetapi itu bukan tugas PAC. Laporan itu perlu dimuktamadkan esok,” kata sumber itu.

Semasa siasatan, PAC menemubual Lim, bekas ketua audit negara Madinah Mohamad dan ketua pengarah Kastam Subromaniam Tholasy.

Kenyataan Lim di Dewan Rakyat pada Ogos lepas, dengan menggunakan perkataan “merompak” menuduh BN bertanggungjawab terhadap dana yang hilang itu, menyebabkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung dakwaan menteri kewangan itu.

Polis juga mengambil keterangan Lim. – 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen