POLIS hari ini mengesahkan hasil bedah siasat ke atas tiga penyelam yang maut di Semporna pada Jumaat lalu adalah disebabkan letupan bom ikan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata, ketiga-tiga mengalami kecederaan dalaman dan ringan pada badan.
“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan hampir sama. Tengkorak dan tulang rusuk patah, pendarahan dalaman dalam perut, dada serta paru-paru.
“Kecederaan dialami sama dengan kecederaan akibat letupan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kapayan selepas melancarkan kempen anti-aedes hari ini.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau semalam dan selesai jam 5 pagi hari ini oleh ahli patologi Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hui dari Kota Kinabalu.
Seramai 12 individu ditahan setakat ini bagi menyiasat kes yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Jumaat lalu, pemilik IMM13 Ab Zainal Abdu, 30, dan warga China Zhao Zhong, 26, dan Xu Yingjie, 26, terbunuh ketika menyelam di Pulau Kalapan di perairan Semporna.
Susulan kejadian itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Jaujan Sambokong membawa isu warga asing yang bekerja sebagai penyelam tanpa permit di Sabah untuk perbincangan kabinet negeri.
Persatuan penyelam professional Semporna juga menyeru pihak berkuasa untuk memeriksa pengendali selam skuba yang menyewa pekerja asing untuk berkerja sebagai penyelam.
Pengerusinya Abdul Razak Ismail berkata, warga asing itu datang ke Sabah sebagai pelancong tetapi akhirnya bekerja sebagai penyelam bebas dan pengajar penyelam di Sabah. – 10 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen