DUA orang maut dalam kejadian berbalas tembakan antara pasukan polis dan pemberontak Maois hari ini, kata pegawai.
Seorang anggota polis berpangkat konstabel dan seorang anggota Parti Komunis Nepal (Maois) maut akibat cedera parah dalam kejadian di daerah Bhojpur yang terleak 180km dari Kathmandu.
Ketua Pegawai Daerah, Nurhari Khatiwada berkata pemberontak melepaskan tembakan ketika polis sedang melakukan rondaan di pasar.
Polis berkata mereka menemui sepucuk pistol dan peluru di tempat kejadian.
Keadaan di Nepal tenang selepas perang saudara yang berpanjangan selama sedekad berakhir pada 2006 di mana pemberontak menyerah kalah dan menyertai politik arus perdana sejak itu.
Tetapi, ada segelintir daripada mereka menubuhkan Parti Komunis Nepal dan menuduh bekas pemimpin membelot perjuangan revolusi mereka.
Parti itu diharamkan ekoran terlibat dalam letupan di luar bangunan syarikat telekomunikasi di Kathmandu pada Februari yang menyebabkan seorang terbunuh.
Pada Mei, empat orang terbunuh dalam tiga letupan berasingan di Kathmandu yang dipercayai ada kaitan dengan parti itu. – AFP, 10 Julai, 2019.
Komen