Rakyat Malaysia lebih percaya media selepas PRU14, kata kaji selidik


Noel Achariam

Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata hasil kaji selidik baru-baru ini menunjukkan bahawa jika rakyat di negara lain semakin kurang percaya kepada media mereka, perkara sebaliknya berlaku di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu. – Gambar EPA, 10 Julai, 2019.

RAKYAT Malaysia kini lebih mempercayai media tempatan berbanding lima tahun lalu, terutamanya terhadap media tradisional seperti akhbar, TV dan radio, menurut sebuah firma penyelidikan pasaran.

Ipsos Malaysia berkata hasil kaji selidik baru-baru ini menunjukkan bahawa jika rakyat di negara lain semakin kurang percaya kepada media mereka, perkara sebaliknya berlaku di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu.

“Ia paling ketara diperlihatkan dalam data selepas pilihan raya umum 2018.

“Rakyat Malaysia cenderung untuk percaya berita dari sumber yang mereka biasa, menjadikan saluran tradisional berada di atas platform berita dalam talian,” katanPengarah Urusan firma itu, Arun Menon dalam satu kenyataan yang disertakan bersama hasil kaji selidik.

Dalam ranking kepercayaan terhadap media, Malaysia berada di kedudukan teratas bersama India, Arab Saudi dan Afrika Selatan. Manakala Hungary, Serbia dan Poland berada di kedudukan paling bawah.

Laporan juga menyatakan bahawa rakyat Malaysia seperti juga rakyat di India dan Afrika Selatan sangat percaya bahawa laporan media mempunyai tujuan yang baik.

“79% rakyat Malaysia berpendapat akhbar dan majalah berniat baik (berbanding 50% seluruh dunia), 77% percaya niat baik TV dan radio (berbanding 52% seluruh dunia) dan 70% bagi sumber berita dalam talian (berbanding 49% seluruh dunia).”

Bagi TV dan radio, 68% rakyat Malaysia percaya berbanding 71% di India dan 17% di Serbia, kata laporan itu.

Platform dalam talian kurang dipercayai berbanding media tradisional di mana 45% responden berkata mereka percaya media dalam talian manakala 50% lagi berkata tidak. – 10 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen