PROJEK Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Rantau, Negeri Sembilan tetap akan siap dalam masa ditetapkan iaitu pada tahun depan, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu menangkis dakwaan bahawa pembinaan projek PR1MA di Rantau tergendala ekoran tidak mendapat bayaran.
“InsyaAllah projek itu akan siap seperti yang dijanjikan iaitu pada Mei tahun 2020. Itu janji yang telah dibuat.
“Rantau menjadi keutamaan dan (pihak pengurusan PR1MA) akan berikan saya penyelesaian mengenainya minggu ini dan kita akan selesaikan isu itu (pembinaan tergendala) minggu depan,” katanya.
Dakwaan itu dibangkitkan beberapa pembeli rumah di media sosial baru-baru ini yang bimbang rumah tersebut tidak siap sedangkan mereka telahpun mula membayar pinjaman bank.
Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata, kementeriannya mengenal pasti kontraktor untuk meneruskan projek berkenaan bagi menggantikan syarikat yang menghadapi masalah kewangan.
“Kita sudah bayar kepada mereka (kontraktor). Tetapi ini masalah subkontraktor,” katanya lagi.
Pada April lalu, Zuraida memberikan janji sama untuk menyiapkan pembinaan 766 unit rumah yang melibatkan kos sebanyak RM171 juta itu.
Menurutnya, Projek PR1MA Rantau itu sudahpun 80% siap pada waktu itu.
Zuraida bercakap kepada wartawan sewaktu pelancaran Persidangan Hartanah Online Hi HOME 2019 di Kuala Lumpur hari ini. – 10 Julai, 2019.
Komen