SEORANG jutawan British James Dyson dilaporkan membayar US$54 juta (RM223.6 juta) untuk membeli sebuah kediaman tiga tingkat dengan kolam renang peribadi dan jakuzi di Singapura.
Syarikat perkakas elektrik miliknya tahun ini mengumumkan akan memindahkan ibu pejabatnya dari England ke Singapura untuk lebih dekat dengan pasaran Asia.
Syarikat itu juga merancang menghasilkan kereta elektrik di situ sebagai sebahagian dari perkembangannya di timur selepas keputusan Britain pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.
Ahli perniagaan itu membeli “penthouse super” sebesar 1.960 meter persegi dengan harga hampir AS$54 juta, lapor akhbar Singapore Business Times.
Dokumen tanah yang dilihat AFP menyenaraikan Dyson dan isterinya Deirdre sebagai penyewa bersama harta pegangan 99 tahun dengan penjualan didaftaran pada 20 Jun.
Syarikat itu mengesahkan Dyson, 72, telah membeli harta di bandar itu.
Rumah mewah di Wallich Residence terletak di tiga tingkat teratas di menara 64 tingkat setinggi 290 meter – tertinggi di Singapura – terletak di daerah perniagaan dan mempunyai panorama cantik di sekitar kawasan berkenaan.
Rumah mewah itu mempunyai lima bilik tidur masing-masing dengan bilik mandi tersendiri, taman peribadi dan dek tontonan di tingkat 62 serta turut mempunyai lif persendirian, menurut risalah jualan harta itu.
Pembelian itu adalah yang paling mahal untuk sebuah kondo di bandaraya – di mana hartanah termahal di dunia menewaskan hampir S$60 juta (RM182 juta) yang dibayar oleh pengasas Facebook Eduardo Saverin untuk penthouse pada 2017.
Jurucakap Dyson enggan memberi butiran tentang pembelian itu tetapi memberitahu AFP, James Dyson membeli harta dan mencari ibu pejabat di Singapura kerana mahu menumpukan perniagaan di rantau Asia. – AFP, 10 Julai, 2019.
Komen