NGO tak setuju pindaan akta MKN, kata menteri


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata, cadangan pindaan ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara ditarik balik ekoran bantahan dari beberapa NGO dan kumpulan masyarakat sivil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Julai, 2019.

CADANGAN pindaan ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara ditarik balik ekoran bantahan dari beberapa NGO dan kumpulan masyarakat sivil, kata Hanipa Maidin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan menamakan pertubuhan tersebut serta perkara yang dibantah dalam rang undang-undang tersebut.

“Saya tak boleh dedahkan, tapi pendapat kita lebih baik kita kaji dulu pandangan mereka.

“Tapi saya minta tak boleh dedahkan NGO apa, dan apa pandangan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

RUU itu dibentangkan oleh Hanipa di Dewan Rakyat pada 9 April lalu.

Ia antara lain mengusulkan agar kuasa mengisytihar darurat dan zon keselamatan dipindahkan daripada perdana menteri kepada Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat MKN.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Anwar Ibrahim semalam dilaporkan berkata terdapat pihak yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya.

Namun, MKN perlu diberi kuasa untuk menjaga sempadan dan menangani bencana alam besar seperti bah yang melanda Kelantan tahun 2014, kata Anwar.

Oleh itu, ia akan dibincangkan dengan masyarakat awam dan dengan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang semula dalam sesi Dewan Rakyat akan datang, katanya.

Anwar berkata demikian selepas satu sesi taklimat mengenai usul kerajaan di Dewan Rakyat kepada kaukus dan juga kepada NGO semalam. – 10 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen