Pengebom bunuh diri dalang serangan kem tentera bulan lalu, kata Manila 


Serangan pengebom bunuh diri di luar kem tentera di kepulauan Jolo bulan lalu menyebabkan tiga anggota tentera dan dua orang awam terbunuh.– Gambar EPA, 10 Julai, 2019

PIHAK pasukan keselamatan Filipina mengesahkan sekurang-kurangnya seorang “pengebom bunuh diri” warga Filipina menjadi dalang serangan yang berlaku bulan lalu.

Norman Lasuca dan seorang lagi individu yang mash belum dikenal pasti identitinya disyaki meletupkan diri di luar kem tentera di selatan kepulauan Jolo pada 28 Jun lalu menyebabkan tiga anggota tentera dan dua orang awam terbunuh, kata polis dan tentera.

“Kami kini boleh mengesahkan..insiden pertama serangan bom bunuh diri di Filipina dilakukan oleh individu bernama Norman Lasuca,” kata jurucakap tentera Brigedier Jeneral Edgard Arevalo pada satu sidang media.

Pengeboman di Jolo mencetuskan kebimbangan serangan militan yang semakin memuncak dipengaruhi oleh kumpulan IS di Asia Tenggara, kata pakar keselamatan kepada AFP.

Sejak sedekad lalu, kumpulan militan di selatan Filipina telah membunuh puluhan ribu nyawa.

Namun serangan pengebom bunuh diri merupakan sesuatu yang sangat jarang berlaku, dengan beberapa warga asing disyaki melakukan serangan berkenaan.

Jurucakap polis Bernard Banac menyifatkan serangan bulan lalu itu sebagai “serangan terancang oleh kumpulan Abu Sayyaf”, iaitu kumpukan militan berpangkalan di Jolo yang sering terlibat dalam penculikan dan serangan bom.

“Laporan yang mendakwa IS mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu masih beum dapat disahkan,” katanya kepada pemberita.

Pihak berkuasa Filipina berkata, ujian DNA turut dibuat ke atas cebisa mayat dua suspek pengebom Jolo dan salah satu daripadanya sepadan dengan DNA ibu dan abang Lasuca, yang merupakan etnik Tausug.

Identiti pengebom kedua masih cuba dikenal pasti oleh pakar, kata Banac.

“Sebelum ini kita hanya dengar serangan IED (bahan letupan yang diubah suai), serangan kawalan jauh namun kali ini melibatkan individu yang meletupkan diri,” kata Arevalo.

“Kami akan membuat penyelarasan bagi teknik, taktik dan prosedur susulan perkembangan ini,” katanya.

“Kami anggap kes ini sebagai kes terpencil,” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, beliau menyedari bahawa “persekitaran keselamatan telah berubah” dan orang awam perlu membantu pihak berkuasa membanteras ancaman baharu ini.  – AFP, 10 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen