Peminjam PTPTN tidak disenarai hitam jika mahu beli rumah


Nabihah Hamid

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika bercakap pada sidang media selepas perasmian Hi Home di Kelab Tasik Diraja, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Julai, 2019

PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mahu membuat pinjaman bank untuk membeli rumah akan dikecualikan daripada sekatan di bawah senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), kata Zuraida Kamaruddin.

CCRIS menyimpan maklumat mengenai rekod pinjaman tertunggak, saman, dan status muflis seseorang.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan, itu berkata ia merupakan satu langkah untuk membantu peminjam PTPTN mudah membuat pinjaman bank untuk membeli rumah.

“Kepada semua graduan yang pertama kali hendak membeli rumah, yang telah dikenakan CCRIS, mereka akan dikeluarkan daripada senarai hitam untuk beli rumah.

“Untuk beli rumah, mereka tidak dikenakan CCRIS… kita akan keluarkan, tapi untuk beli rumah (sahaja), kereta tidak boleh,” katanya kepada media selepas perasmian Hi Home di Kelab Tasik Diraja, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata beliau akan mengumumkan perkara itu dengan lebih lanjt pada pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober ini.

Zuraida juga menjelaskan perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Saiful Wan Jan bulan lalu.

Menurut statistik 2016, seramai 1.5 juta peminjam PTPTN disenarai hitam di bawah CCRIS dan tidak layak mendapatkan sebarang pinjaman bank, lapor Utusan Online.  – 10 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen