PELAWAAN Dr Mahathir Mohamad untuk anggota Umno menyertai Bersatu sudah terlambat kerana parti itu sudah membentuk kerjasama dengan PAS, kata Mohamed Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata jika orang Umno menyertai Bersatu sekalipun ia tidak akan berguna jika tidak dapat membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Agak terlambat sebab kita dah setuju dengan PAS, kita ada kerjasama baik. Saya sokong kerjasama dengan PAS.
“Dan kita kena tengok sekarang ini kita takkan dapat capai (majoriti mudah) 112 kerusi Parlimen jadi apa gunanya,” kata bekas setiausaha Barisan Nasional itu kepada pemberita di lobi Parlimen.
Pendirian serupa disuarakan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang menegaskan tidak akan keluar Umno walau minat untuk mendengar pelawaan menyertai Bersatu.
Jelasnya beliau terbuka kepada usaha penyatuan ummah seperti itu kerana bapanya, perdana menteri ketiga Hussein Onn menyokong perpaduan orang Melayu.
“Kalau untuk penyatuan dari dulu lagi saya terima. Bapa saya (sokong) perpaduan takkan anak (sokong) perpecahan.
“Dalam hal ini saya tekankan secara peribadi, saya takkan keluar dari parti,” katanya yang turut ditemui di lobi Parlimen.
Mereka mengulas pelawaan Dr Mahathir pada minggu lalu kepada ahli Umno untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.
Ia bagi mengelakkan kuasa politik itu terpecah disebabkan kemunculan banyak parti kecil orang Melayu, katanya. – 10 Julai, 2019.
Komen