
PERANG dagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berupaya memberi impak yang positif kepada negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Jelasnya, krisis tersebut mampu dijadikan satu peluang buat negara menjadi pintu masuk kepada pelabur asing untuk menembusi pasaran Asia Tenggara yang mempunyai 650 juta penduduk.
Tambah beliau, Malaysia juga mempunyai infrastruktur yang baik untuk menghubungkan negara-negara Asia Tenggara serta mempunyai modal insan berkualiti untuk menarik pelabur asing.
“Malaysia mampu jadi pintu masuk untuk menembusi pasaran 650 juta orang Asean. Kita bersyukur Malaysia mempunyai kedudukan politik yang stabil, negara aman dan modal insan yang mahir.
“Pelabuhan, lapangan terbang, dan lebuh raya-lebuh raya boleh menjadi penghubung kepada negara-negara Asia Tenggara,” kata Azmin.
Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta beliau menjelaskan cara untuk Malaysia mengambil kesempatan daripada perang dagangan tersebut.
Tambah Azmin, kajian terhadap 250 syarikat konglomerat juga mendapati, 24.7% daripadanya berhasrat untuk memindahkan operasi ke Asia Tenggara disebabkan perang dagangan itu.
“Ini membuktikan Malaysia mempunyai potensi krisis ini, kita menukar krisis kepada peluang,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Awang Hashim (PAS-Pendang) bertanyakan kepada Azmin kesan ke atas ekonomi Malaysia terhadap risiko ketidaktentuan persekitaran global terutama sekali dalam keadaan krisis berkenaan.
Jelas Azmin, kerjasama serantau perlu ditingkatkan supaya pelabur-pelabur asing berminat meluaskan pasaran mereka ke Asia Tenggara.
“Kesan daripada tindakan AS yang mengenakan tarif terhadap China, pelabur-pelabur China beralih operasi perniagaan ke Asia Tenggara dan ini akan menguntungkan Malaysia.”
Perang dagangan juga katanya membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutamanya minyak sawit yang menggantikan minyak soya dan jagung.
“Pada Mac 2019 syarikat malaysia berjaya menandatangani perjanjian bernilai AS$900 juta bagi membekalkan 1.6 juta tan minyak sawit ke China. Pada Januari hingga April 2019, eksport sawit meningkat hampir 255,000 tan dengan nilai eksport, RM1.4 billion,” katanya.
Komen