SEBUAH spa di Los Angeles bersetuju untuk mengubah polisinya dan membayar ganti rugi kepada seorang lelaki buta yang tidak dibenarkan masuk ke spa itu atas alasan “jenisnya” tidak akan dapat mengikut arahan.
Spa Palace, yang dikendalikan oleh CJ Spa Group Inc, menyelesaikan kes itu dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) (DoJ) selepas lelaki berkenaan memfailkan aduan.
Pihak berkuasa berkata pengadu yang tidak dinamakan pergi ke spa itu pada Julai 2017 bersama seorang rakan untuk mendapatkan khidmat urutan di kawasan Los Angeles’s Westlake.
Seorang kakitangan memberitahunya dia tidak boleh masuk ke bangunan spa itu atau menerima khidmat urutan kerana orang sepertinya tidak dapat mengikut arahan dan tukang urut tidak dapat menjaganya, kata kenyataan DoJ.
Kedua-dua mereka meninggalkan spa itu tetapi 45 minit kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang lagi kakitangan spa berkenaan dan berkata mereka boleh kembali dan mendapatkan khidmat urutan. Mereka menolak tawaran itu.
Spa Palace mendakwa bukannya lelaki itu tidak boleh menerima khidmat urutan berkenaan tetapi diberitahu beliau perlu ditemani oleh rakannya setiap masa ketika berada di bangunan berkenaan.
“Individu kurang upaya termasuk mereka yang buta tidak seharusnya dikecualikan daripada aktiviti atau perkhidmatan, berdasarkan kepada stereotaip dan andaian salah,” kata Peguam AS Nick Hanna.
Selain menukar polisinya berkaitan orang kurang upaya, spa itu juga bersetuju membayar ganti rugi AS$5,000 kepada pengadu dan denda sivil AS$5,000 kepada Perbendaharaan AS. – AFP, 10 Julai, 2019.
Komen