MINGGU lalu heboh kemunculan semula pengasas bersama dan mastermind di sebalik kejayaan Air Asia 18 tahun lalu. Setelah sedekad meninggalkan jenama penerbangan warna merah dan berkonsepkan tambang murah itu, Pahamin Ab Rajab kini kembali.
Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam (1974 hingga 2001) dan bekas pengerusi Air Asia (2001 hingga 2008), kini menjadi perhatian.
Sumber menyebut, Pahamin mewakili blok lima penama lain telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Tujuan utama pertemuan ialah menyatakan minat untuk mengambil alih Malaysia Airlines.
Ini bukan berita aneh mengenai penampilan semula Pahamin. Rekod dan prestasi peribadi serta kepakaran negosiasi Pahamin tercatat dalam sejarah pengambil alihan Air Asia. Sebagai pengasas bersama, dia juga mengetuai blok Tony Fernades ketika bertemu Dr Mahathir pada 2001.
Pahamin “menemani” Tony dan Kamaruddin Meranum dalam usaha menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah. Mereka terdesak mendapatkan lesen operasi.
Walaupun Dr Mahathir menyokong idea itu, tetapi trio itu perlu mencari syarikat yang sudah diberikan lesen untuk memulakan bisnes mereka. Kerajaan tidak dapat mengeluarkan lesen baharu.
Pada waktu itu, terdapat beberapa syarikat yang boleh dijadikan pilihan. Cuma Tony selaku key player, memilih berurusan dengan Air Asia.
Asal usul Air Asia pula sangat teruk. Reputasi syarikat penerbangan itu sangat bermasalah. Namun, tanpa pilihan, Tony dan bloknya mengambil alih 100% saham Air Asia daripada DRB Hicom. Langkah berani kerana Air Asia memikul hutang RM40 juta.
Selain hanya memiliki hanya dua buah pesawat, Air Asia pada era nazaknya, memiliki 254 pekerja. Bisnesnya pula tiada potensi.
Sejarah itu ada jenakanya. Air Asia dijual pada harga RM1 sahaja tetapi dipukal bersama hutang RM40 juta.
Itu antara cerita Tony dalam satu wawancara pada 2013. Selain kisah dan idea asal memulakan bisnes penerbangan tambang murah, Tony turut berkongsi rasa kagum terhadap peranan dan kredibiliti Pahamin.
“Kami berjumpa Pahamin kerana pernah berkerjasama menghapuskan cetak rompak ketika masih dalam industri hiburan.
“Pahamin suka idea syarikat penerbangan dan bersetuju. Dia ada pengalaman dalam Kementerian Pengangkutan. Apabila timbul soal lesen, dia kata, kami perlu berjumpa Dr Mahathir.”
Itu kredit Tony menghargai peranan Pahamin hingga Air Asia berjaya diambil alih pada 8 September 2001.
Sekarang, selepas meninggalkan Air Asia pada 2008, Pahamin kembali bersama lima rakan baharu. Misi terbaharunya lebih besar. Mengetuai blok untuk mengambil alih Malaysia Airlines.
Cuma tidak seperti ketika bersama blok Tony dalam kes Air Asia, peranan Pahamin sekarang lebih kritikal. Keadaan syarikat penerbangan milik Khazanah Nasional itu kini amat tenat.
Malaysia Airlines jenama yang menjadi beban negara ketika terbang langit. Beratnya pula digalas rakyat Malaysia yang berada di bumi. Syarikat itu kekal rugi dan terus berserabut walaupun setelah diberikan pelan suntikan dana RM6 bilion pada 2014.
Pengurusan berkelas antarabangsa dan anak tempatan sudah silih berganti menerajui syarikat tenat ini. Namun, masih gagal memulihkan Malaysia Airlines.
Pelan solid Najah Air
Menurut sumber, blok Pahamin memberi jaminan kepada Dr Mahathir, cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines tidak akan membabitkan pembuangan pekerja. Pahamin juga mengemukakan pelan bisnes yang solid.
Najah Air Sdn Bhd, syarikat yang diwakilinya juga membuktikan rekod kemampuan pembiayaan kewangan dan kepakaran pengurusan.
Cuma pasukan “Marvel” Pahamin memerlukan tempoh tiga bulan untuk menjalankan proses pertimbangan wajar. Tempoh itu perlu, sebelum blok ini mengumumkan pelan total bagi menyelamatkan Malaysia Airlines.
Kehadiran Najah Air satu cahaya baharu. Ia pilihan terbaik dalam naratif bisnes domestik berbanding menjual Malaysia Airlines kepada pihak luar.
Sekali pun sentimen nasional selama ini memanjakan Malaysia Airlines, namun di tangan pemain tulen, ia menampakkan potensi bahawa syarikat itu wajar kekal dikendalikan anak Malaysia.
Menurut sumber, Pahamin mewakili bloknya dan menyatakan perancangan serius menyusun dan memulihkan Malaysia Airlines.
Strategi utama pasukan Pahamin ialah melaksanakan usaha asas, iaitu pembabitan pekerja dalam proses mengukuhkan Malaysia Airlines.
Ini relevan kerana sebelum dan selepas disuntik dana pada 2014, krisis pekerja dan pengurusan Malaysia Airlines gagal ditangani dengan baik.
“Apabila produktiviti pekerja meningkat, ia memudahkan syarikat mencapai sasaran. Pasukan Pahamin meletakkan tempoh 18 bulan untuk mengembalikan keyakinan pekerja, pemegang saham dan rakyat,” kata sumber.
Cuma, tempoh kajian tiga bulan yang dimohon, bergantung kepada respons kerajaan. Cuma angka 18 bulan bagi tempoh pemulihan Malaysia Airlines pula, dilihat sangat realistik.
Dalam keadaan bisnes Malaysia Airlines sekarang, tempoh setahun terlalu pendek untuk menstabilkan syarikat. Manakala, 24 bulan pula terlalu perlahan bagi mengelakkan kerugian berterusan.
Apa pun, laluan pasukan Pahamin tidak mudah. Kegagalan dua pasukan pengurusan dalam tempoh lima tahun, satu bukti, Malaysia Airlines syarikat yang nazak dan kritikal.
Selain krisis perniagaan, pertelagahan berpanjangan antara kesatuan sekerja dan pengurusan, menjadikan syarikat gergasi ini sebagai pesakit kanser tahap empat.
Tahun lalu, penganalisis memaklumkan syarikat penerbangan itu menanggung kerugian RM1 bilion.
Malaysia Airlines rugi, rugi dan rugi
Khazanah Nasional mengambil alih Malaysia Airlines pada Ogos 2014 dan melaksanakan pelan pemulihan yang menelan kos RM6 bilion.
Antara beban utama ialah kos RM1.4 bilion bagi penyenaraian semula Malaysia Airlines. Manakala RM1.6 bilion ialah kos penstrukturan semula syarikat.
Manakala RM3 bilion lagi digunakan Malaysia Airlines dalam tempoh tiga tahun operasi.
Memandangkan suntikan dana RM6 bilion ditelan begitu mudah dan tahun lalu, Malaysia Airlines masih gagal mencatatkan keuntungan, tugas Pahamin dan pasukan “Marvelnya” bakal berdepan masalah getir.
Namun, menurut sumber, pasukan Pahamin sudah mengenal pasti masalah dalaman Malaysia Airlines. Antaranya krisis kepemimpinan.
“Krisis kepemimpinan ketika ini menjejaskan produktiviti pekerja. Namun, ia tidak sukar untuk dipulihkan berdasarkan pengalaman kepemimpinan Pahamin,” kata sumber.
Personaliti Pahamin dijangka mampu memulihkan krisis ini. Malah, moral pekerja akan menjadi keutamaan pengurusan pasukan Marvelnya.
Ini penting kerana apabila pekerja selesa dan gembira, ia akan menyeimbangkan operasi Malaysia Airlines.
Apakah Dr Mahathir menerima cadangan Pahamin dan Najah Air, kita tunggu senarionya. Namun, kalau pasukan Marvel Pahamin diyakini mampu melakukan perubahan, mereka ialah pilihan utama.
Lagi pun, Malaysia Airlines dalam keadaan sekarang bukanlah syarikat yang sihat dan menjadi rebutan. Apa lagi oleh pelabur domestik. Kerajaan pula sudah berulang kali menyatakan hasrat melepaskan Malaysia Airlines.
Justeru, kalau Pahamin dan pasukan Marvelnya mampu, berikan mereka peluang. – 10 Julai, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen