MAHKAMAH Rayuan semalam memutuskan Donald Trump tidak boleh menyekat pengguna Twitter berdasarkan kepada perbezaan politik mereka dengan presiden Amerika Syarikat (AS) itu.
Keputusan itu bermakna keputusan mahkamah lebih rendah sebelum ini dikekalkan.
Panel tiga hakim bersetuju dengan keputusan hakim persekutuan tahun lalu bahawa Trump menggunakan “diskriminasi sudut pandangan” dalam pelanggaran hak perlembagaan rakyat yang mempunyai pandangan berbeza dengannya.
Mahkamah Rayuan membawa soalan tentang hak kebebasan bersuara presiden di bawah Pindaan Pertama perlembagaan AS tentang platform Internet hak persendirian, tetapi menegaskan Trump mencipta forum terbuka untuk urusan rasmi White House.
“Pindaan Pertama tidak membenarkan pegawai awam yang menggunakan akaun media sosial bagi semua tujuan rasmi untuk mengecualikan seseorang daripada dialog online secara terbuka kerana mereka menyuarakan pandangan yang tidak dipersetujui secara rasmi,” kata hakim dalam penghakiman 29 halaman.
Keputusan itu dibuat sebagai respons kepada tuntutan saman difailkan sekumpulan pengguna Twitter dan Institut Pindaan Pertama Knight di Universiti Columbia, mendakwa Trump secara salah menyekat komen daripada lawan politiknya.
Plaintif, termasuk profesor Universiti Maryland, pegawai polis Texas dan penulis komedi New York, berkata mereka disekat daripada akaun @realDonaldTrump selepas membuat posting mengkritik dasarnya.
Pasukan undang-undang Trump berkata beliau tidak bertindak atas kapasiti rasminya ketika menyekat pengguna, tetapi mahkamah tidak bersetuju.
“Presiden dan beberapa ahli pentadbirannya menyifatkan beliau menggunakan akaun itu sebagai urusan rasmi,” kata mahkamah.
Jabatan Kehakiman yang mewakili presiden, ada pilihan untuk merayu keputusan itu ke Mahkamah Agung AS.
“Kami kecewa dengan keputusan mahkamah dan akan mengkaji langkah lain yang boleh diambil,” kata jurucakap Kelly Laco.
“Seperti hujah kami, keputusan Presiden Trump menyekat pengguna daripada akaun Twitter miliknya tidak melanggar Pindaan Pertama.” – AFP, 10 Julai, 2019.
Komen