China desak AS batal jualan senjata ke Taiwan


AS berkata peralatan ketenteraan dan senjata yang akan dijual kepada Taiwan itu dapat menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di Asia. – Gambar AFP, 10 Julai, 2019.

CHINA mendesak Amerika Syarikat (AS) membatalkan serta-merta urus niaga senjata bernilai AS$2.2 bilion ke Taiwan.

AS menepis aduan China, dan berkata peralatan ketenteraan dan senjata yang akan dijual itu dapat menyumbang kepada “keamanan dan kestabilan” di Asia.

Jualan itu jika dimuktamadkan akan menjadi pindahan pertama peralatan ketenteraan AS secara besar-besaran ke Taiwan, pulau yang ditadbir secara demokrasi selama berdekad, dan bakal menambah tekanan kepada hubungan Washington dan Beijing yang sedia tegang susulan perang perdagangan antara mereka.

China membuat aduan rasmi menerusi saluran diplomatik, menyuarakan rasa tidak berpuas hati dan membantah langkah itu, kata jurucakap kementerian luar Geng Shuang pada sidang media.

Urus niaga itu termasuk kereta kebal, peluru berpandu mudah alih serta peralatan dan alatan sokongan peperangan.

Geng berkata cadangan urus niaga itu melanggar prinsip satu China dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara.

Taiwan ditadbir secara berasingan dari China sejak berakhirnya perang saudara pada 1949, tetapi Beijing menganggap ia sebagai wilayah yang akan diambil semula – secara paksa jika perlu.

China dengan jelas memberikan tekanan diplomatik dan ketenteraan terhadap Taipei sejak pilihan raya 2016 di mana Presiden Tsai Ing-wen enggan mengiktiraf pulau itu sebahagian daripada “Satu China”. – AFP, 10 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen