Serangan Easter, mahkamah Sri Lanka tolak dakwa ketua polis


Mahkamah Sri Lanka semalam menolak permohonan pendakwa raya untuk mendakwa Ketua Polis Negara Pujith Jayasundara atas tuduhan bunuh kerana gagal menghalang serangan pengeboman nekad pada sambutan Easter. – Gambar AFP, 10 Julai, 2019.

MAHKAMAH Sri Lanka semalam menolak permohonan pendakwa raya untuk mendakwa ketua polis dan pegawai kanan pertahanan atas tuduhan membunuh kerana gagal menghalang serangan pengeboman nekad pada sambutan Easter.

Ketua Polis Negara Pujith Jayasundara dan bekas setiausaha pertahanan Hemasiri Fernando dihadapkan ke mahkamah selepas ditahan minggu lalu atas tuduhan kecuaian mereka menyebabkan serangan yang mengakibatkan 258 maut.

Pendakwa raya Dappula de Livera berkata kecuaian mereka menyebabkan jenayah besar berlaku terhadap kemanusiaan dan mereka patut dihadapkan tuduhan bunuh.

Tetapi Majistret Colombo Lanka Jayaratne berkata tidak cukup bukti untuk menunjukkan mereka gagal bertindak atas amaran tentang pengeboman militan itu.

Kedua-dua individu yang sedang menjalani rawatan di dua hospital dan tidak hadir ke mahkamah. Mereka diwakili peguam dan dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi masih boleh didakwa pada masa depan.

Jayasundara pegawai polis paling kanan pernah ditahan dalam sejarah 152 tahun pasukan itu.

Peguam negara turut menamakan sembilan pegawai kanan sebagai suspek yang patut didakwa atas kecuaian keselamatan berhubung serangan itu.

Badan risikan India memberi amaran tentang serangan Easter itu di mana maklumat diperoleh daripada anggota militan yang ditahan India, tetapi pihak berkuasa Sri Lanka tidak mengambil ugutan itu secara serius.

India memberikan amaran pertama pada 4 April, lebih dua minggu sebelum serangan itu, di mana kumpulan Islamic State mengaku menyokongnya. – AFP, 10 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen