SEJUMLAH 30 orang termasuk ahli Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengadakan majlis nyala lilin untuk penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin di Penjara Kajang malam ini selepas beliau dijatuhi hukuman penjara setahun kerana menghina Sultan Selangor.
Mereka berhimpun di pintu masuk penjara bermula jam 9 malam, menyalakan lilin dan melaungkan “mansuh Akta Hasutan” sebagai tanda solidariti kepada penceramah agama dikaitkan dengan PKR itu.
Aktivis Amir Abdul Hadi berkata Akta Hasutan perlu dimansuhkan seperti mana janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
“Undang-undang drakonian perlu dimansuhkan. Ia janji dibuat Pakatan Harapan. Tetapi hari ini, kawan kami Wan Ji dalam penjara kerananya,” katanya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Wan Ji untuk membatalkan sabitan bersalah dan penjara sembilan bulan kerana tuduhan menghina Sultan Selangor di Facebook tujuh tahun lepas.
Hakim Abdul Halim Aman juga menambah penjara tiga bulan kepada penceramah itu selepas mempertimbangkan rayuan balas pendakwaan.
Halim berkata ayat digunakan Wan Ji dalam catatan Facebooknya bertujuan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja.
“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan,” katanya.
Amir turut mempersoalkan mengapa kerajaan masih menggunakan undang-undang legasi penjajah British itu walaupun negara sudah berpuluh tahun merdeka.
“Akta Hasutan digubal pada 1948, sebelum Malaysia dibentuk dan sebelum kemerdekaan. Mereka (kerajaan) masih guna dan ini tidak boleh diteruskan.”
Turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann.
Tokoh Reformasi Anwar Ibrahim turut meluahkan simpati kepada Wan Ji.
Presiden PKR itu berkata hukuman penjara setahun terlalu keras dan tidak selari dengan janji perubahan demokratik kerajaan. – 9 Julai, 2019.
Komen