KONTRAK IJM Corp bagi pakej Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bawah tanah bernilai RM1.12 bilion membabitkan laluan bawah tanah dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang dibatalkan oleh kontraktor turnkey projek berkenaan, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK).
IJM Corp memaklumkan Bursa Malaysia anak syarikatnya, IJM Construction Sdn Bhd, diberikan notis pembatalan daripada MRCBGK pada 8 Julai, memaklumkan kontrak bagi kerja melibatkan laluan itu telah dibatalkan.
Kumpulan itu berkata, pembatalan itu berikutan pembentukan semula projek berkenaan daripada model rakan pelaksana projek (PDP) kepada model kontrak harga tetap, selaras dengan arahan baharu kerajaan.
“Rangka kerja kontrak baru telah menyebabkan pelantikan MRCBGK sebagai PDP di bawah Perjanjian PDP dengan Prasarana Malaysia Bhd (majikan projek) ditamatkan.”
“Berikutan penamatan itu, dan menurut syarat-syarat kontrak, MRCBGK sebagai PDP, telah mengeluarkan notis kepada IJM Corp,” katanya.
IJM Corp, yang menerima surat penerimaan projek itu pada 13 Mac tahun lepas untuk kontrak bernilai RM1.12 bilion, telah memulakan kerja-kerja awal untuk projek itu sebelum ia ditangguhkan pada Jun 2018.
Projek LRT3 adalah salah satu daripada pelbagai projek mega yang menyaksikan kosnya disemak semula oleh Putrajaya.
Pada Julai tahun lepas, Kementerian Kewangan membenarkan projek itu diteruskan selepas mengurangkan kos sebanyak 47% daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion.
IJM Corp berkata ia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.
“IJM Corp kini sedang berunding dengan penasihatnya dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sesuai di bawah kontrak.
“Selain pendapatan berpotensi dari projek, penamatan projek itu tidak akan memberi kesan signifikan ke atas kedudukan kewangan kumpulan itu,” katanya.
Harga saham IJM Corp naik 1.25% dan ditutup pada RM2.43 hari ini, dengan 254,500 saham bertukar tangan. – 9 Julai, 2019
Komen