Kapal Alan Kurdi selamatkan 44 migran 


Migran menaiki bot usang cuba menyeberangi laut Mediterranean untuk ke Eropah, diselamatkan oleh kru kapal Alan Kurdi. – Gambar EPA, 9 Julai, 2019

KAPAL penyelamat Alan Kurdi menyelamatkan 44 orang termasuk wanita dan bayi daripada kapal usang yang mereka naiki di laut Mediterranean, kata pengendalinya Sea-Eye pada Selasa.

Malta bersetuju untuk menerima mereka yang diselamatkan dan menghantar kapal bagi mengambil mereka, kata pertubuhan amal itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Malta masih belum mengesahkan perkara itu.

Minggu lalu, Alan Kurdi menyelamatkan 65 migran yang cuba melakukan perjalanan dari Afrika Utara dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Malta selepas Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini menutup pelabuhan untuk kapal mereka.

Sea-Eye berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung migran terbaharu di perairan Libya oleh nelayan Tunisia dan pesawat pencarian awam Colibri.

Migran yang diselamatkan itu berkata, mereka meninggalkan Zuwara di Libya pada awal Sabtu lalu.

“Seramai 44 orang termasuk wanita dan tiga kanak-kanak diselamatkan Alan Kurdi,” kata Sea-Eye.

Kanak-kanak berkenaan berumur 15 bulan, tiga tahun dan lima tahun. Kebanyakan mereka datang dari Syria, Libya, Pakistan, Bangladesh dan Guinea. – AFP, 9 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen