JUMLAH kematian akibat letupan paip saluran minyak di hab komersil Lagos di Nigeria meningkat kepada 12 orang, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Angka itu meningkat selepas sepuluh mangsa yang cedera parah akibat letupan itu minggu lalu meninggal dunia.
Kebakaran tercetus selepas beberapa individu cuba memecah masuk laluan paip minyak itu untuk mencuri petrol di bandar Ijeagun pada Khamis.
Dua dilaporkan maut serta merta akibat kejadian itu dan 20 lagi mengalami kecederaan manakala lebih 30 kenderaan di kawasan berkenaan musnah.
Sepuluh daripada mangsa yang cedera meninggal dunia kerana luka melecur yang dialami iaitu hampir 100 peratus,” kata setiausaha kementerian kesihatan Titilayo Goncalves.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan tiada lagi kehilangan nyawa,” tambahnya.
Katanya, mangsa yang masih dirawat ditempatkan di unit rawatan rapi.
Pihak berkuasa berkata, ejen keselamatan berjaya memintas pencuri ketika mereka cuba memindahkan petrol ke trak mereka.
Suspek kemudiannya bertindak membuang petrol ke dalam longkang dan menyalakan api ketika cuba melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan. – AFP, 9 Julai, 2019
Komen