HUJAN lebat berterusan di Washington DC dan kawasan sekitarnya menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.
Perkhidmatan Kaji Cuaca AS (NWS) mengeluarkan amaran banjir kilat di beberapa kawasan selepas banyak jalan raya ditutup akibat ditenggelami air.
Banjir turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan rangkaian pengangkutan awam seperti lapangan terbang dan kereta api.
Lapangan Terbang Ronald Reagan menerima 3.3 inci hujan dalam tempoh satu jam, menurut NWS menerusi Twitter.
Rakaman visual dari stesen televisyen tempatan memaparkan beberapa kawasan ditenggelami air dan banyak kenderaan terkandas.
Malah salah satu rakaman memaparkan limpahan air memasuki stesen metro Washington.
Perkhidmatan kecemasan turut menerima banyak panggilan daripada penduduk yang memerlukan bantuan.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam bencana itu. – AFP, 9 Julai, 2019
Komen