KAKAK Putera Mahkota Arab Saudi akan dijatuhi hukuman hari ini di mahkamah Perancis kerana didakwa membelasah seorang pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja ubah suai di aparment mewahnya di Paris.
Hassa bint Salman, kakak Putera Mohammed bin Salman (MBS) berdepan tuduhan mengarahkan pegawal peribadinya membelasah seorang pekerja selepas dilihat mengambil gambar rumahnya pada September 2016.
Puteri itu menafikan dakwaan itu, mendakwa mengesyaki mangsa merancang menjual gambar apartmentnya di Avenue Foch, destinasi kegemaran hartawan asing di Paris.
Pekerja itu berkata beliau diikat dan diarahkan mencium kaki puteri itu, yang dianggapnya berusia dalam lingkungan 40-an dan jadi tumpuan media pro kerajaan Saudi kerana kerja-kerja kebajikan dan kempen hak wanita.
Dakwanya lagi, beliau dibelasan dan peralatan kerjanya dirampas ketika dikurung selama beberapa jam.
Dalam wawancara bersama majalah Le Point, Perancis, pekerja itu berkata puteri menjerit “bunuh dia, anjing, dia tak layak hidup.”
Peguam untuk pengawal peribadi, Yassine Bouzrou memberitahu AFP: “Kami harap hakim akan pertimbangkan pelbagai percanggahan plantif. Rekod perubatan bercanggah dengan versi kejadian yang plantif berikan dan ini bukti dia menipu.”
Pengawal peribadi itu sudah memfailkan saman fitnah terhadap pekerja itu.
Puteri itu yang dikenakan waran tangkap di Perancis pada Mac 2018 dijangka tidak hadir hari ini.
Beliau dituduh bersubahat dalam keganasan bersenjata, bersubahat menahan seseorang tanpa rela dan mencuri.
Pengawal peribadinya dituduh dengan keganasan bersenjata, mencuri, mengugut dan menahan seseorang tanpa rela. – AFP, 9 Julai, 2019.
Komen