ISU had kuasa jawatankuasa pilihan khas (PSC) akan dibincangkan dengan kaukus reformasi dan tadbir urus Parlimen pada minggu depan, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau akan menemui enam pengerusi PSC itu bagi membincangkan isu berkaitan peranan dan keterbatasan kuasa mereka.
Katanya, isu bidang kuasa itu menyebabkan PSC sukar untuk mengundang pegawai kanan agensi dan kerajaan bagi memberi penjelasan.
“Jawatankuasa pilihan khas ini sebahagiannya mereka menghadapi kesukaran untuk mengundang pegawai kanan beri taklimat ataupun kuasa Parlimen sangat terbatas tidak seperti dijanjikan.
“Jadi langkah pertama kaukas adalah mengundang semua pengerusi minggu depan bagi membincangkan masalah ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Anwar berharap pertemuan itu dapat menangani masalah dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi isu tersebut, selari dengan hasrat Pakatan Harapan untuk mereformasi Parlimen.
Antara kes melibatkan masalah keterbatasan kuasa jawatankuasa itu melibatkan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua badan agensi antirasuah yang baharu pada awal bulan lalu.
Pelantikan itu didapati tidak dirujuk kepada PSC bagi pelantikan jawatan utama, namun jawatankuasa itu tidak dapat memanggi Latheefa untuk memberi penjelasan.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada masa itu menjelaskan PSC masih tidak berfungsi kerana pindaan perlembagaan masih belum diluluskan.– 9 Julai, 2019.
Komen