SEORANG lelaki yang menguruskan perpustakaan komik haram dalam talian dengan hampir 100 juta pembaca setiap bulan ditahan di Manila, kata pihak berkuasa Filipina hari ini.
Romi Hoshino, 28, menguruskan “Manga Mura” yang ditutup April tahun lepas apabila Jepun melancarkan operasi memburu pengasas laman itu kerana pencabulan hak intelek dan harta cipta.
Hampir 100 juta orang mengunjungi laman haram itu setiap bulan yang mempunyai koleksi hampir 60,000 manga, untuk bacaan secara percuma sebaik sahaja diterbitkan.
Penerbit manga rugi hampir 320 bilion yen (AS$2.94 bilion) pendapatan dalam tempoh enam bulan sehingga Februari 2018, kata Persatuan Pengedaran Kandungan Luar Negara Jepun.
“Ia jumlah yang besar dan Manga Mura adalah isu besar untuk pengarang manga,” kata pegawai kumpulan anti cetak rompak kepada AFP.
“Kerajaan Jepun membentuk pasukan gerak khas untuk bertindak ke atas Manga Mura,” kata persatuan itu lagi.
Hoshino yang memegang pasport Jepun, ditahan pada Ahad di Lapangan Terbang Manila selepas Kedutaan Jepun meminta bantuan rakan sejawat mereka di Manila.
“Kehadirannya di negara ini adalah risiko keselamatan awam dan akan diusir ke Jepun secepat mungkin,” kata pihak berkuasa Filipina. – AFP, 9 Julai, 2019.
Komen