Indonesia akan pulangkan lebih 210 tan sampah ke Australia


Lapan kontena yang dirampas di Surabaya sepatutnya hanya mengandungi sampah berasaskan kertas, tetapi pihak berkuasa menemui bahan berbahaya dan sisa rumah. – Gambar EPA, 9 Julai, 2019.

INDONESIA hari ini berkata negara itu akan memulangkan lebih 210 tan sisa sampah ke Australia, ketika negara seluruh rantau Asia Tenggara sedang memperhebat usaha menolak menjadi tempat pembuangan sampah negara asing.

Lapan kontena yang dirampas di Surabaya sepatutnya hanya mengandungi sampah berasaskan kertas, tetapi pihak berkuasa menemui bahan berbahaya dan sisa rumah termasuklah botol plastik dan pembungkusan, lampin terpakai, barangan elektronik dan tin, kata jurucakap agensi kastam Jawa Timur kepada AFP.

Selepas pemeriksaan, Kementerian Alam Sekitar mencadangkan “ia dieksport semula”, kata agensi itu dalam satu kenyataan berasingan semalam.

“Ini dilakukan untuk melindungi rakyat dan alam sekitar terutama di Jawa Timur, daripada sisa B3,” katanya merujuk kepada bahan berbahaya dan toksik.

Syarikat Australia, Oceanice Multitrading menghantar sisa ke Indonesia dengan bantuan syarikat negara itu, PT.MDI, kata pihak berkuasa.

Keputusan China tahun lepas untuk mengharamkan import sisa plastik mencetuskan kekecohan industri sisa dunia, menyebabkan negara maju bergelut mencari tempat baharu melupuskan sampah mereka.

Jumlah besar sampah mula masuk ke negara Asia Tenggara, tetapi bantahan mula kedengaran dalam isu pengendalian sisa sampah di rantau itu.

Indonesia minggu lepas mengumumkan ia akan menghantar balik 49 kontena ke Perancis dan negara maju lain.

Malaysia juga berkata ia akan memulangkan semula 450 tan sisa plastik ke negara asal, termasuklah Australia, Bangladesh, Kanada, China, Jepun, Arab Saudi dan AS.

Filipina pula berjaya memulangkan 69 kontena sampah ke Kanada bulan lepas, menamatkan krisis diplomatik dalam isu itu antara dua negara berkenaan.

Kebimbangan dunia terhadap pencemaran plastik diperhebat dengan tersebarnya gambar sungai tercemar di Asia Tenggara serta kematian pelbagai hidupan laut dengan perut mereka dipenuhi sampah sarap.

Sejumlah 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun, kata Dana Alam Sekitar Dunia, kebanyakannya dibuang ke tapak pelupusan sampah. – AFP, 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen