Bekas pegawai PBB dipenjarakan cabul budak di Nepal


SEORANG bekas pegawai PBB dipenjarakan atas kesalahan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Nepal, kata pihak berkuasa.

Peter John Dalglish, 62, dari Kanada, bekas pekerja kemanusiaan berprofil tinggi, dijatuhkan hukuman itu semalam, sembilan tahun dan enam tahun penjara dalam dua kes selepas disabitkan bersalah bulan lalu.

Pegawai mahkamah daerah Thakur Trital berkata Dalglish dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan tujuh tahun penjara bagi mencabul seorang lagi mangsa berusia 14 tahun.

“Hakim belum memutuskan sama ada dia akan menjalani hukuman penjara 16 tahun atau dibebaskan selepas sembilan tahun. Dalam kebanyakan kes seumpama ini, hukuman dijalankan serentak tetapi terpulang kepada budi bicara hakim,” kata Trital.

Dalglish juga diperintahkan membayar ganti rugi 500,000 rupee Nepal (AS$4,550) kepada setiap mangsa.

Dalglish ditahan pada April tahun lalu di Kavrepalanchowk berhampiran Kathmandu, oleh Biro Siasatan Nepal.

Dua mangsa terbabit berada di rumah berkenaan ketika polis menahan Dalglish.

Dalglish menafikan semua tuduhan, dan peguamnya tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Pekerja bantuan itu yang pernah menerima anugerah dari Kanada pada 2016, mencipta nama sebagai pekerja kemanusiaan yang membantu kanak-kanak jalanan, buruh kanak-kanak dan mereka yang terjejas akibat perang.

Dia menjadi pengasas bersama Street Kids International pada 1980-an yang bergabung dengan persatuan Save the Children.

Sepanjang dekad lalu, Dalglish memegang jawatan utama dalam beberapa agensi PBB, termasuk ketua Habitat PBB di Afghanistan pada 2015. – AFP, 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen