Kerajaan pertimbang ujian keserasian sebelum pasangan berkahwin


Zaim Ibrahim

Ia bagi mengurangkan kes perceraian melibatkan pasangan yang baru berkahwin, kata Hannah Yeoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2019.

KERAJAAN mempertimbangkan untuk mewajibkan setiap pasangan menduduki ujian keserasian sebelum dibenarkan berkahwin, kata Hannah Yeoh.

Timbalan menteri pembangunan wanita dan masyarakat itu berkata, ia bagi mengurangkan kes perceraian melibatkan pasangan yang baru berkahwin.

Jelasnya, ujian itu juga penting supaya mereka mengenali dan memahami sama ada hubungan mereka patut atau tidak diteruskan ke alam perkahwinan.

“Penceraian banyak berlaku kerana tiada bersefahaman dalam tempoh lima tahun perkahwinan.

“Kita lihat, orang terburu-buru untuk berkahwin tetapi tidak melalui (dahulu) mengenali pasangan,” katanya.

Yeoh menjawab soalan tambahan oleh Azizah Mohd Dun (PH - Beaufort) sewaktu persidangan Dewan Rakyat hari ini

Tambahnya, kementerian juga akan berbincang dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk memantapkan kursus praperkahwinan untuk Islam dan bukan Islam.

“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengadakan program sesi libat urus dengan beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantapkan kursus kursus pra perkahwinan dengan Islam dan bukan Islam. 

“Kita mahu kenal pasti elemen topik yang perlu ditambah nilai dalam kursus perkahwinan dan melatih jurulatih beri penyampaian yang lebih baik. 

“Kita juga sedang mengumpul NGO untuk meluaskan kursus praperkahwinan di daerah-daerah lain,” tambahnya.

Soalan asal dikemukakan Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengatasi kes perceraian melibatkan pasangan muda atau yang baru berkahwin.

Jelas Hannah Yeoh, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, kes penceraian seluruh negara sedikit menurun daripada 51,642 orang (2016) kepada 49,965 orang (2017).

Beliau turut berkata, Selangor mencatatkan bilangan kes penceraian yang paling tinggi bagi pasangan Islam dan bukan Islam disebabkan negeri itu mempunyai populasi yang tinggi.

Bagi pasangan Islam, sebanyak 8,794 kes penceraian berlaku manakala bagi pasangan bukan Islam, sebanyak 2,068 kes.

Peratusan tertinggi pasangan bercerai berlaku pada umur 30-34 bagi kedua-dua jantina, katanya.– 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen