Turun juga had umur minimum calon, kata PAS


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong Khoo Gek San

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Julai, 2019

USUL untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun akan disokong jika kerajaan turut menurunkan had umur minimum untuk menjadi calon pilihan raya, kata PAS.

Setiausaha agung parti itu Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak akan bersetuju jika kerajaan hanya melaksana pendaftaran automatik pengundi apabila had umur layak mengundi itu diturunkan.

Tegasnya, kerajaan juga perlu menurunkan had minimum calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Bagaimanapun PAS akan menunggu taklimat daripada perdana menteri terlebih dahulu yang akan berlangsung esok di bangunan Parlimen.

“Kita akan tunggu dan lihat macam mana esok (10 Julai),”  katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan semalam untuk melaksana pendaftaran automatik pengundi apabila had umur minimum untuk mengundi itu diturunkan.

Tambahnya, PAS juga akan melihat sekiranya perkara itu akan dipinda selanjutnya sebelum dibentangkan untuk bacaak kali kedua di Dewan Rakyat.

“Kita akan tunggu sehingga ia dibentangkan pada 16 Julai ini, Undang-undang ini boleh dipinda sebelum dibentangkan untuk bacaan kedua,” katanya lagi. – 9 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen