BN tuntut perubahan rang undang-undang kurangkan had umur mengundi


Chan Kok Leong

Khamis lalu, Pakatan Harapan membentangkan usul untuk meminda Perkara 119 (1) (a) untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2019

PEMBANGKANG hanya akan menyokong usaha kerajaan untuk membenarkan had umur mengundi 18 tahun sekiranya ia termasuk dengan pendaftaran secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya dalam undang-undang, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

“Jika kerajaan membetulkan rang undang-undang pindaannya, pembangkang tidak mempunyai keraguan untuk menyokongnya.

“Mereka boleh masukkan pindaan tambahan ini dalam Bacaan Kedua sebelum perbahasan,” kata ahli Parlimen Ketereh kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebaliknya, pembangkang akan menolak cadangan pindaan perlembagaan sekiranya perubahan tambahan ini tidak dimasukkan sebelum perbahasan yang akan bermula minggu hadapan, katanya. 

Khamis lalu, Pakatan Harapan membentangkan usul untuk meminda Perkara 119 (1) (a) untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Pembangkang, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak bagaimanapun berkata, mereka hanya akan menyokong pindaan perlembagaan itu sekiranya kerajaan bersetuju untuk menyertakan pendaftaran pengudni secara automatik dan meminda Perkara 47 Perlembagaan untuk menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Kerajaan berkata, ia hanya membenarkan pendaftaran secara automatik kepada pengundi yang layak selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam.

Namun Annuar berkata Umno mahu ia dimasukkan ke dalam rang undang-undang itu sendiri dan bukan berjanji untuk melakukannya kemudian.

“PAS, BN dan GPS sudah memutuskan bahawa pindaan perlembagaan tidak sepatutnya diperkecil supaya ia tidak bercanggah dengan seksyen lain dan kami juga meminta agar Perkara 47 dipinda.

“Oleh itu, kami meminta kerajaan membetulkan rang undang-undang pindaannya,” katanya.

Bacaan kali kedua dijadualkan pada 16 Julai dan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pakatan Harapan bersama sekutunya di Sabah, kini mempunyai 139 ahli Parlimen dan masih kekurangan sembilan undi untuk dua pertiga yang diperlukan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan. – 9 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen