UMNO sedang bersedia untuk melupuskan lebih banyak aset selepas menjual pegangannya dalam Media Prima Bhd minggu lalu, kata setiausaha agung parti Annuar Musa hari ini.
“Saya boleh sahkan ada usaha untuk melepaskan lebih banyak saham Umno kepada pembida. Tetapi saya tidak boleh berikan lebih lanjut maklumat kerana ia terserah kepada bendahari,” kata ahli Parlimen Ketereh itu kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Annuar berkata beliau juga tidak boleh mendedahkan kerana kebanyakan pelupusan itu tertakluk kepada peraturan Suruhanjaya Keselamatan.
Minggu lalu, taikun Syed Mokhtar Al-Bukhary membeli 11.09% saham Umno dalam kumpulan media Media Prima Berhad, pada nilai RM73.8 juta.
Dilaporkan saham itu dijual menerusi urus niaga luar pasaran pada harga 60 sen sesaham.
Syed Mokhtar juga dilaporkan membeli saham itu pada premium 23.7% berbanding harga ditutup 48.5 sen.
Transaksi blok 123.02 juta saham itu dilakukan menerusi Gabungan Kesturi Sdn Bhd bagi pihak Umno.
Umno pada masa ini sedang bergelut untuk meneruskan operasi parti selepas tewas mempertahankan kuasa persekutuan pada pilihan raya umum lalu dan sedang menstrukturkan syarikatnya.
Akaun bank parti itu dibekukan sejak tahun lalu dalam sebahagian siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd.
Di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, pemimpin perlu mencari pelbagai cara bagi membiayai operasi dan aktiviti, dengan ada yang menampung perbelanjaan sendiri manakala yang lain menyewakan pejabat parti. – 9 Julai, 2019.
Komen