Ada 4 lamaran untuk Malaysia Airlines, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Empat tawaran diterima untuk ambil alih MAB, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui selepas menghadiri penutup Persidangan TVET 2019 di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Julai, 2019.

PUTRAJAYA menerima empat tawaran untuk mengambil alih syarikat penerbangan negara Malaysia Airline Berhad (MAB), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan berhubung semua tawaran itu, katanya.

“Belum ada keputusan tetapi hanya tawaran dan cadangan untuk ambil alih. Kita sedang teliti semua cadangan (yang diterima). Ada banyak ideas (untuk Malaysian Airlines),” katanya kepada wartawan selepas menutup Persidangan TVET 2019 di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan bekas pengerusi dan pengasas AirAsia, Pahamin Ab Rajab bahawa beliau dan lima rakan kongsinya berminat mengambil alih syarikat penerbangan yang tenat itu.

Pahamin berkata mereka bercadang untuk mengambil 49% pegangan dalam syarikat itu dan Khazanah Nasional Bhd 51%.

Dr Mahathir berkata mereka perlu mengkaji semua cadangan dengan berhati-hati kerana MAS pernah gagal sebelum ini.

“Kita perlu kaji dengan baik. Kerana banyak perubahan dibuat sebelum ini tetapi ia tidak menjadi.

“Kita perlu cari orang yang ada pengalaman menguruskan syarikat penerbangan. Ada banyak syarikat tempatan mempertimbangkan untuk mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata menguruskan syarikat penerbangan bukan mudah kerana ada persaingan.

“Sekarang kita terpaksa bersaing dengan syarikat penerbangan tambang rendah. Ramai orang guna tambang murah, jadi ia bukan mudah,” katanya.

Pahamin dan rakan kongsinya baru-baru ini membuat tawaran kepada MAS menerusi Najah Air Sdn Bhd.

Katanya, mereka tidak akan meminta sebarang bantuan daripada Khazanah, pemegang saham tunggal MAS, atau dari kerajaan.

“Rakan kongsi saya boleh dapatkan wang. Jadi orang akan datang dan melabur. Kami berbincang dengan institusi tempatan dan luar negara.

“Kami akan minta hak untuk menguruskan tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan jenama negara dan nama MAS akan dikekalkan, dan turut kekal sebagai syarikat penerbangan antarabangsa. – 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen