Demi keadilan untuk Najib Razak


The Malaysian Insight

Perbicaraan kes terhadap Najib Razak bagi empat pertuduhan melibatkan skandal 1MDB akan diteruskan walaupun kes SRC International Sdn Bhd masih berjalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Julai, 2019.

MAHKAMAH Tinggi semalam membuat keputusan meneruskan perbicaraan ke atas Najib Razak bagi empat pertuduhan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun kes SRC International Sdn Bhd masih berjalan.

Ini antara 42 pertuduhan jenayah ke atas bekas perdana menteri itu selepas beliau kalah pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu. Ada yang merasakan pertuduhan itu memadai untuk menunjukkan beliau bersalah dan sepatutnya beliau sudah masuk penjara.

Tetapi urusan keadilan selalunya lambat, dan ada kalanya berliku-liku.

Jumlah pertuduhan terhadap ahli Parlimen Pekan itu bermakna beliau akan mengambil masa untuk menjawab semua pendakwaan melalui peguamnya yang akan cuba membuktikan beliau tidak bersalah.

Pihak pendakwaan memohon kes 1MDB ditangguhkan sehingga selesai perbicaraan kes SRC. Namun semalam, Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan itu dan menetapkan perbicaraan dimulakan pada 19 Ogos, dan bukan menangguhkannya sehingga 1 Oktober ketika kes SRC dijangka selesai.

Adakah penangguhan perbicaraan yang sudah masuk hari ke-34 dan mendengar keterangan 43 saksi untuk satu lagi perbicaraan lain akan memberi keadilan kepada Najib dan Malaysia.

Cuba kita pertimbangkan hal-hal ini.

1. Pihak pendakwaan ada pegawai yang cukup untuk dua pasukan bagi dua perbicaraan yang berlangsung serentak. Namun pasukan pembela Najib yang mewakilinya dalam perbicaraan SRC akan juga membelanya dalam kes 1MDB.

Sangat tidak wajar untuk mengharapkan mereka bersedia mengendalikan dua perbicaraan besar pada masa sama, melainkan kita memaksa Najib mencari pasukan pembela yang lain.

Kerajaan baharu berjanji semua keputusannya ditunjang oleh kedaulatan undang-undang dan asas keadilan. Prinsip itu harus terpakai pada semua, termasuk bekas perdana menteri yang dikecam.

2. Rakyat Malaysia mengharapkan keadilan dalam perbicaraan 1MDB dan SRC yang menjejaskan maruah Malaysia serta berbilion ringgit duitnya.

Sudah lebih setahun sejak perubahan politik berlaku namun belum tuntas satu pun kes mahkamah yang terkait dengan skandal kewangan itu.

Kes SRC sudah masuk hari ke-34 dengan 43 saksi. Ada sekurang-kurangnya 20 saksi lagi yang menunggu untuk dipanggil. Setakat ini, kes SRC ada lagi lima minggu sampai 19 Ogos tetapi untuk memuktamadkannya akan mengambil sedikit masa.

Untuk dua kes jenayah berjalan serentak maknanya perbicaraan kes SRC akan mengambil masa yang lebih panjang lagi untuk selesai. Daripada boleh selesai pada September atau Oktober, kes itu barangkali boleh berlarutan sampai ke tahun depan.

Maknanya, dua tahun sejak Najib dikenakan 42 pertuduhan tetapi tidak ada satu pun yang selesai. Dalam kes 1MDB, ahli Parlimen Pekan itu dituduh dengan empat pendakwaan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi 1MDB untuk kepentingan peribadi.

Najib juga berdepan 21 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dari dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Kes ini akan memakan masa dan tumpuan.

Maknanya, Pejabat Peguam Negara harus merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi semalam untuk meneruskan kes 1MDB. Ia harus memastikan keutamaan diberi untuk menyelesaikan perbicaraan kes SRC yang sudah separuh jalan.

Sistem perundangan seharusnya menyelesaikan sekurang-kurangnya satu kes terhadap Najib sebelum beliau dibicarakan untuk kes lain.

Apatah lagi, keadilan bukan saja mesti dilaksanakan tetapi harus juga ternampak dibuat. – 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen