Caj kesesakan 4 lebuh raya lebih rendah berbanding kadar tol


Ragananthini Vethasalam

Caj kesesakan empat lebuh raya bertol yang akan diambil alih oleh Putrajaya akan lebih rendah berbanding kadar bayaran tol dikenakan pemegang konsesi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2019.

CAJ kesesakan untuk empat lebuh raya bertol yang akan diambil alih oleh Putrajaya daripada Gamuda Bhd akan lebih rendah berbanding kadar bayaran tol dikenakan pemegang konsesi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Tempoh konsesi bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Terowong Smart, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Smart) ialah antara sembilan dan 23 tahun.

“Semua pengguna perlu membayar kadar tol mengikut kontrak konsesi. Namun bila ia diambil alih kerajaan, mereka akan bayar caj kesesakan yang jauh lebih rendah berbanding apa dibayar sekarang,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab.

“Kami ingin memastikan kerajaan dapat menjimatkan RM5.3 bilion dan pengguna dalam berjimat RM2 bilion dalam caj tol yang dibayar ketika tempoh konsesi.”

Lim berkata pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi pengeluaran bon.

Katanya, ia dilakukan atas nasihat bank pelaburan yang menjamin langkah itu akan membolehkan ia membiayai pengambilalihan tanpa perlu mengeluarkan wang.

Kutipan caj kesesakan itu akan digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

“Kita berjaya mengurangkan kadar tol untuk caj kesesakan kerana kerajaan ini bukannya hendak mencari keuntungan.

“Kenapa kerajaan terdahulu tidak buat begitu, sebaliknya mereka terus mengayakan syarikat swasta,” katanya.

Kerajaan mencadangkan pengambilalihan empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd pada nilai RM6.2 bilion. – 9 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen