BEKAS suami kepada guru tadika Indira Gandhi yang masih melarikan diri, sudah pun berkahwin lain dan ada tiga anak daripada perkahwinan keduanya itu, kata kumpulan persatuan sivil yang berjanji untuk bekerjasama dengan polis menjejaki lelaki berkenaan.
Pasukan Tindakan Indira Gandhi (INGAT) memberitahu The Malaysian Insight, Muhammad Riduan Abdullah berkahwin semula pada 10 tahun lalu dan isterinya itu tinggal di Kelantan.
Pengerusi INGAT Arun Dorasamy berkata maklumat itu dikongsi dengan polis pada April tetapi tidak ada tindakan diambil untuk menyoal siasat isteri kedua Riduan itu tentang di mana suaminya berada.
“Kami keliru kenapa polis belum mengambil keterangan isteri Riduan yang tinggal di Kelantan. Riduan berkahwin dengannya ketika dia berusia 18 tahun dan sekarang dia sudah 28 tahun.
“Mereka ada tiga anak dengan yang kecil sekali berumur dua tahun. Maka kami percaya Riduan sering datang bertemu mereka. Wanita itu boleh beri maklumat di mana Riduan berada,” katanya.
Riduan, atau nama asalnya K. Pathmanathan, melarikan diri sejak lebih sedekad, dan dipercayai bersembunyi di selatan Thailand.
Beliau berkahwin dengan Indira pada April 1996 dan mempunyai tiga anak. Pada 2009, Riduan melarikan anak mereka selepas perceraian dan kemudian memeluk Islam. Mahkamah Syariah Ipoh memberikan hak jagaan kekal kepada tiga anak mereka.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan sepenuhnya kanak-kanak itu kepada Indira dan tiga tahun kemudian pada Julai 2013, mahkamah yang sama membatalkan pertukaran agama kanak-kanak berkenaan.

Mahkamah memutuskan pertukaran agama anak secara sebelah pihak tidak mengikut perlembagaan. Dua anak mereka dipulangkan kepada Indira tetapi anak bongsu mereka, Prasana tidak dikembalikan.
Pada Mei 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan Riduan ditangkap dan Prasana dikembalikan pada Indira.
Dua tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan memerintahkan ketua polis negara pada masa itu, Khalid Abu Bakar untuk menahan Riduan atas tuduhan menghina mahkamah, tetapi hingga hari ini, bapa dan anak itu masih tidak dapat dikesan.
Arun yang menubuhkan INGAT untuk membantu menemukan Prasana dan Indira, berkata Riduan baru menyambut ulang tahun ke-50 bulan lalu, dan mungkin akan cuba mengeluarkan wang simpanannya dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Dia akan cuba masuk ke negara ini untuk keluarkan simpanan KWSP dan kami mahu pihak berkuasa berjaga-jaga tentang perkara ini,” katanya.
Polis pada April, menubuhkan pasukan petugas khas untuk mencari Prasana. Pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.
Huzir memberitahu The Malaysian Insight pasukan itu akan bertemu dengan INGAT tidak lama lagi untuk membincangkan kes itu.
“Ketua polis negara sepatutnya bertemu dengan keluarga dan peguam minggu lalu tetapi beliau terpaksa menghadiri satu persidangan. Tarikh baharu akan ditetapkan tidak lama lagi.
“Saya tidak boleh komen tentang tuduhan itu tetapi isu ini akan diselesaikan pada perjumpaan akan datang,” kata Huzir. – 10 Julai, 2019.
Komen