KEVIN Spacey mungkin terlepas daripada dibicarakan dalam kes serangan seksual terhadapnya, susulan penuduhnya enggan memberi keterangan kerana takut ia akan mendedahkan dirinya.
William Little mendakwa pelakon itu merabanya di sebuah bar di Massachusetts pada Julai 2016.
Spacey, 59, didakwa pada Januari atas kesalahan melakukan serangan tidak senonoh dan menghina.
Hakim Mahkamah Daerah Massachusetts untuk Nantucket, satu kawasan pulau mewah di mana tuduhan itu berlaku, memanggil Little pada Isnin untuk memberi keterangan. Spacey tidak hadir di mahkamah.
Tetapi Little memilih untuk membuat rayuan Fifth Amendment, yang membenarkan rakyat tidak memberi keterangan supaya tidak mendedahkan diri mereka, selepas diketahui telefon bimbitnya – bukti penting dalam kes itu – mungkin terjejas.
Little berkata dia mengambil video insiden itu menerusi telefon pintarnya, di mana ia berlaku ketika dia berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pelayan di bar Nantucket.
Imej telefon pintar itu, di mana Little berkata dikongsinya bersama teman wanitanya ketika itu dan sekumpulan rakan, dikatakan menunjukkan Spacey memasukkan tangannya ke dalam seluar remaja itu dan merabanya.
Tetapi telefon itu – di mana pihak pembela mohon untuk diperiksa – kini hilang, dan disahkan oleh Little serta ibu bapanya, yang turut dipanggil memberi keterangan semalam.
Seorang anggota polis berkata beliau memulangkan telefon itu kepada keluarga berkenaan selepas mengambil maklumat yang diperlukan tetapi mengakui tidak meminta resit ketika dipulangkan. Keluarga itu berkata mereka tidak pernah menerima telefon itu.
Disoal siasat apa yang dilakukan dengan telefon dan mesej di dalamnya, Little bertegas mengatakan dia tidak memadamkan apa-apa.
Tetapi kemudian diberi amaran memanipulasi maklumat di telefon itu boleh menyebabkan dia didakwa.
Heather Unruh, ibu Little, yang juga seorang pembaca berita terkenal di kawasan Boston, mengakui dia memadam beberapa gambar yang memalukan sebelum memberikannya kepada polis tetapi mengakui tidak memadam gambar berkaitan tuduhan serangan itu. – AFP, 9 Julai, 2019.
Komen