ENTITI pemantau persaingan Brazil pada Isnin mendenda Alstom, Bombardier dan sembilan syarikat lain sebanyak 535 juta reais (kira-kira AS$140 juta) kerana menyalahi udang-undang berpakat secara sulit berhubung tender membina laluan metro dan kereta api pinggir bandar.
Syarikat milik “kartel” itu memutarbelit sekurang-kurangnya 26 tender antara 1999 dan 2013 di empat negeri di Brazil, kata Majlis Pentadbiran Pertahanan Ekonomi (CADE).
Objektif mereka adalah untuk “memecahbelahkan pasaran, menentukan harga, mengubah suai syarat, kelebihan dan cara penglibatan syarikat dalam tender,” kata CADE.
Denda bagi 11 syarikat, yang juga termasuk CAF (Sepanyol) dan Mitsui milik Jepun, berjumlah 515.6 juta reais ditambah 19.5 juta reais bagi 42 pengurus.
Alstom, yang dianggap sebagai pemimpin kartel, dilarang menyertai mana-mana proses tender di sektor kereta api Brazil selama lima tahun.
Alstom dan Bombardier Kanada juga dihalang daripada menerima subsidi awam atau pengecualian cukai untuk tempoh yang sama.
Siemens Jerman juga merupakan ahli kartel, tetapi terlepas hukuman selepas menandatangani “perjanjian” dengan pihak berkuasa Brazil. Pihak yang didenda boleh mengemukakan rayuan. – AFP, 9 Julai, 2019.
Komen