Ibu bapa lelaki koma akur keputusan doktor henti rawatan


Vincent Lambert (kanan) bersama ibunya Viviane di hospital Perancis. Mahkamah Perancis mengarahkan pemberhentian sistem sokongan hidup Lambert sebagaimana permohonan isterinya. – Gambar AFP, 9 Julai, 2019.

IBU bapa Vincent Lambert, seorang pesakit mengalami kerosakan otak teruk yang kesnya menjadi kontroversi di Perancis, akhirnya akur dengan “kematian” anaknya selepas para doktor menghentikan rawatan bagi sokongan hidupnya.

Lambert terlibat dalam kemalangan kereta pada 2008 yang menyebabkan dia mengalami quadriplegic dengan kerosakan otak parah yang dikatakan oleh doktor tidak dapat dipulihkan.

Sejak itu, dia dibantu mesin sokongan hayat sehingga mencetuskan perbalahan undang-undang selama bertahun-tahun di antara ibu bapanya yang beragama Katholik kerana enggan membenarkan rawatan dihentikan sedangkan isterinya dan para doktor, mengatakan pilihan paling manusiawi adalah membiarkannya meninggal dunia dengan tenang.

Pada 28 Jun, mahkamah rayuan Perancis memutuskan doktor boleh mula menghentikan sokongan hidup dalam proses yang bermula minggu lalu walaupun ibu bapanya, Pierre dan Viviane masih terus berusaha menentangnya.

“Kami tidak mempunyai tempat untuk mengadu dan kini sudah terlambat. Vincent sedang mati,” kata mereka dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP melalui peguam mereka, sambil menambah keadaannya kini “dapat dipulihkan secara perubatan”.

“Sepanjang minggu lalu, kami membuat usaha yang besar untuk mencuba dan memastikan penangguhan diminta bagi pihak Vincent oleh jawatankuasa PBB mengenai hak orang kurang upaya dihormati, tetapi ia sia-sia,” kata mereka.

Pada Mei, sebuah jawatankuasa PBB mengenai hak orang kurang upaya, berpangkalan di Geneva, meminta Perancis terus membenarkan Lambert hidup ketika ia menjalankan siasatannya sendiri mengenai perkara itu. Tetapi kerajaan Perancis menolak permintaan itu sebagai tidak terikat dengannya.

Ibu bapa Lambert berada di sisinya pada Ahad selepas doktor mula mengeluarkan tiub air dan makan serta “dalam keadaan sedasi berterusan”.

“Ia adalah satu pembunuhan, ia adalah euthanasia,” kata Pierre Lambert, 90 tahun, memberitahu wartawan di hospital Sebastopol di bandar utara Reims, di mana anaknya berada dalam keadaan vegetatif sejak 2008.

Mengutuk keputusan mahkamah sebagai “kegilaan”, pasangan itu percaya anak mereka hanya cacat dan berusaha memindahkannya ke unit rawatan pakar.

Sekumpulan penyokong yang menentang penamatan sokongan hayatnya mengadakan demonstrasi di Paris pada Isnin tetapi membatalkannya pada saat akhir selepas ibu bapa Lambert mengatakan kematiannya “kini tidak dapat dielakkan” dan mereka terpaksa menerimanya. – AFP, 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen