AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan duti baru terhadap beberapa barangan keluli dari Mexico dan China pada Isnin, mengatakan negara itu membantu pengeluar mereka dengan subsidi yang tidak adil.
Keputusan itu dibuat dua bulan selepas Presiden Donald Trump bersetuju menaikkan tarif ke atas keluli dan aluminium dari Mexico dan Kanada selepas tiga negara tersebut bersetuju dengan pakatan perdagangan bebas Amerika Utara yang disemak semula.
Jabatan Perdagangan mendapati keluli import yang digunakan dalam pembinaan menerima manfaat daripada subsidi di China, Mexico dan Kanada, tetapi bagi Kanada yang hanya menerima sedikit subsidi, tiada duti balas dikenakan.
Tindakan itu adalah sebagai tindak balas kepada rungutan dibuat pada Februari oleh pengeluar keluli AS. Dalam penemuan awal Jabatan Perdagangan mendapati pengeksport Mexico dan Cina mendapat faedah subsidi 30.3% hingga 177.43%.
Ejen kastam AS akan mula mengutip duti import berdasarkan kadar subsidi, tetapi dana itu boleh dikembalikan jika pegawai menarik semula dapatan tersebut. Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS yang bebas kadang-kala menghalang tindakan Jabatan Perdagangan jika ia mendapati syarikat Amerika tidak terjejas dengan subsidi.
Trump tahun lepas mengumumkan tarif global sebanyak 25% terhadap keluli dan 10% pada aluminium tetapi pada Mei bersetuju menarik semula untuk Mexico dan Kanada.
Trump memuji tarif itu, mendakwa ia memberi nafas baru kepada industri logam AS. – AFP, 9 Julai, 2019.
Komen