SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Malaysia perlu berdepan soal bagaimana untuk menghapuskan korupsi yang menjadi punca banyak masalah negara.
Pada sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini, bekas Presiden Majlis Peguam dan Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan berkata 90% masalah di Malaysia boleh diselesaikan sekiranya korupsi dihapuskan.
“Utopia adalah jika kita ada kerajaan yang jujur. Tetapi bertahun lamanya kita tidak ada (kerajaan jujur) dan kerana itulah kita dalam masalah sekarang.
“Cuba bayangkan seketika apa situasi Malaysia sekarang jika kita ada (kerajaan jujur) sejak 20 tahun lepas,” kata aktivis hak asasi manusia yang lantang itu pada forum “Envisioning The Future – Beyond GE14” hari ini.
Penceramah lain di forum itu ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan. Forum itu dipengerusikan Zan Azlee.
Katanya Malaysia sudah dirahmati dengan kekayaan alam semulajadi dan bakat modal insane tetapi korupsi sudah membarah menjadi sebahagian gaya hidup rakyat.
“Kita sudah terlupa apa yang salah. Orang muda rasa korupsi tidak salah kerana orang atasan mereka pun buat. Dan itulah caranya (kebiasaan).”
Tetapi katanya, pendidikan dan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk menghapuskan korupsi kerana kerajaan akan datang, sama ada Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan, perlu memenangi jiwa rakyat dalam usaha mereka menentang korupsi.
Beliau mencadangkan kerajaan akan datang melaksanakan pendekatan pengampunan yang membolehkan mereka yang korup diberikan peluang kedua dengan mengakui korupsi yang dilakukan dan mengembalikan sebahagian wang yang diambil.
“Mengaku yang anda korup dan negara tak akan dakwa. Ini boleh menyakinkan kumpulan (rakyat) pertengahan dan bawahan. Jika tidak semua orang yang korup akan menentang apa sahaja rancangan untuk menghapuskan korupsi.
“Saya tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak bertindak kebelakangan ini. Tetapi saya hanya akan hormat SPRM sekiranya agensi itu ‘mengejar’ perdana menteri. Ketika ini masih penguatkuasaan terpilih,” kata Ambiga.
Memetik laporan Parti Sosialis Malaysia, Ambiga berkata peladang getah misalnya boleh meminta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk melakukan penanaman semula selepas tanaman mereka berusia 20 tahun.
“Tetapi Risda menggunakan kontraktor untuk melakukannya. Dan selepas pokok besar, selepas lima tahun, peladang mendapati yang kontraktor menggunakan benih kurang berkualiti menyebabkan hasil getah dan pokok tidak berkualiti. Ini juga satu korupsi.
“Orang tak buat apa yang sepatutnya mereka buat. Perkara sama berlaku dalam industri perikanan apabila kapal Vietnam didaftarkan di sini tetapi di sewa kepada nelayan Vietnam yang kemudian menggunakannya untuk menangkap ikan di perairan kita. Ini memberi kesan kepada nelayan kita,” katanya.

Menghapuskan korupsi adalah salah satu daripada tiga cadangan yang dikemukakan peguam terkemuka itu pada forum hari ini. Dua lagi cadangan adalah menangani kemiskinan dan menubuhkan suruhanjaya kebenaran dan perdamaian.
Ambiga berkata Malaysia berjaya dalam menghapuskan kemiskinan tegar dan kebuluran di bawah Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi kemiskinan masih menjadi masalah negara.
“Kita sudah sampai tahap mempunyai graduan menganggur. Ada yang terpaksa jadi amah.
“Kita pernah merasa kasihan kepada Filipina kerana terpaksa mengeksport amah tetapi situasi ini berlaku kepada kita sekarang.”
Ambiga turut menyentuh isu dobi di Muar yang disifatkannya sebagai gambaran kepincangan kepimpinan negara.
“Hanya selepas Sultan Johor keluarkan titah baru semua orang mengalah. Tiada seorangpun ahli politik yang berbuat demikian.
“Bila PRU14 berakhir kita perlu menangani perkara ini dan menubuhkan suruhanjaya kebenaran dan perdamaian. Rakyat hidup dalam ketakutan ketika ini.”
Katanya, PH perlu menilai cadangan Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute mengenai pelan transisi.
“Mereka tidak boleh hanya tumpu manifesto pilihan raya. (Tetapi) Bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan pelan transisi ini untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Wong mencadangkan PH supaya menganggap PRU14 sebagai pilihan raya transisi dan menubuhkan pakatan transisi dengan rakyat untuk menangani perubahan rejim sekiranya ia berjaya merampas kuasa.
“PH tidak boleh mengulangi kesilapan lalu dan menerbitkan manifesto strategi pilihan raya yang bercita-cita tinggi dan menganggapnya sebagai hanyalah amalan perhubungan awam yang biasa dilakukan.
“Ia perlu mengeluarkan pakatan transisi yang secara jelas menerangkan apakah perubahan yang akan berlaku sekiranya ia menang dan apa yang tidak akan berlaku,” kata Wong dalam satu makalah diterbitkan dalam East Asia Forum. – 30 September, 2017.
Komen