PERDANA Menteri Najib Razak menegaskan kerajaan sentiasa komited mengutamakan kebajikan rakyat malah banyak memberikan subsidi tersembunyi terutamanya dalam isu kesihatan.
Memberi contoh bayaran rawatan di hospital kerajaan yang murah, Najib berkata kerajaan menanggung perbelanjaan berbilion ringgit dan hanya mengenakan bayaran yang rendah kepada rakyat.
“Untuk Kementerian Kesihatan (peruntukan) berjumlah RM22 bilion setahun, kita cuma kutip RM600 juta. Bayangkan kalau kita buat ‘bypass’ (pembedahan jantung).
“Yang muda tak perlu fikir, yang berumur 60 tahun kena fikir. Buat ‘bypass’ (rawatan jantung di kerajaan) kena bayar RM1,000 sehingga RM2,000 tetapi kalau di (hospital) swasta kos sebenarnya RM50,000.
“Saya hendak tanya (hadirin) kalau melahirkan di hospital kerajaan Putrajaya. Tak banyakkan? Satu hari berapa? RM50? RM100? Itu saja? Ini semua subsidi tersembunyi untuk rakyat,” katanya pada ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Koprojaya di Putrajaya hari ini.
Beliau menjelaskan kepada ribuan penjawat awam yang menghadiri majlis itu mengenai keputusan kerajaan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah untuk masa depan negara.
Tambahnya, dengan GST 6% itu, negara dapat menambahkan pendapatan berbilion ringgit sekaligus meneruskan pembangunan Malaysia.
“Kita menyediakan asas untuk menjana perkembangan ekonomi dan kekayaan. Kadang-kadang kita terpaksa melakukan sikit pengorbanan tapi kita tahu ia meletakkan asas kukuh untuk jamin kelestarian.
“Bila kerajaan lakukan sesuatu dia ada tujuan baik. Bila kita perkenal GST. Ini langkah susah kan rakyat. Bila kita tengok semak pendapatan hasil negara. Melalui GST kita dapat RM42bilion ringgit pada tahun sudah.” Katanya.
Pada masa yang sama, ahli Parlimen Pekan itu turut membidas tindakan pembangkang yang tidak mempunyai pendirian tetap mengenai isu GST.
“Janganlah kita dengar cakap pihak tertentu mula-mila kata nak hapuskan GST. Asyik berubah. Sebenarnya apa mereka kata tidak realisitik dan tak boleh dilakukan.
“Saya bercakap kalau tuan-tuan tidak faham. Saya bercakap dengan hadirin yang bijaksana. Kita buat ini untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi.
Najib menghadiri mesyuarat agung tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya).
Koprojaya merupakan koperasi yang mengumpulkan profesional muda dalam sektor awam yang kini mempunyai 1398 ahli. – 30 September, 2017.
Komen