DR Mahathir Mohamad menjelaskan yang jemputan dibuatnya untuk menyertai Bersatu dituju kepada ahli parti Melayu lain dan bukannya parti itu menjadi sekutu Pakatan Harapan.
Pengerusi Bersatu itu berkata PH tidak lagi boleh menerima parti lain.
“Jika kita terima parti lain, pemilihan calon untuk pilihan raya akan datang akan bermasalah. Semua orang hendak jadi calon.
“Jika ahli parti ini masuk ke dalam parti sedia ada, ia okay,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Perdana menteri itu berkata sudah banyak parti politik Melayu di negara ini, merujuk kepada Bersatu, Amanah, Umno dan PAS.
“Orang Melayu perlu belajar ambil serius tentang politik. Sudah ada empat parti politik Melayu dan tak perlu ada yang lain lagi.
“Saya dah jelaskan kepada ahli Kabinet yang orang Melayu tak bagus berpolitik, mereka hanya mahu jadi presiden parti.
“Mereka sudah terima penjelasan saya bila saya kata orang Melayu patut masuk Bersatu,” katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas tawaran dibuatnya kepada orang Melayu untuk menyertai Bersatu pada Jumaat lepas.
Hari ini, beliau juga mendedahkan semua lima parti PH termasuklah Warisan boleh bekerjasama tanpa sebarang masalah.
“Saya bersyukur, selepas setahun keempat-empat parti boleh bekerjasama dengan satu sama lain.
“Kita ada sebuah lagi parti, Warisan dari Sabah dan semuanya bekerjasama dengan baik. Kita tak bergaduh waktu mesyuarat. Kabinet mampu berfungsi,” tambahnya lagi. – 8 Julai, 2019.
Komen